MALAYSIA

Lebih 200 rakyat Malaysia meriahkan Malam Merdeka 2025 di Dubai

Kenyataan Media 01/09/2025 | 12:03 MYT
Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai menganjurkan Program Sambutan Malam Merdeka 2025 pada Sabtu, 30 Ogos 2025 di Restoran My Square, Doubletree by Hilton, Business Bay, Dubai, UAE. - Foto ihsan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis
DUBAI: Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai menganjurkan Program Sambutan Malam Merdeka 2025 pada Sabtu, 30 Ogos 2025 di Restoran My Square, Doubletree by Hilton, Business Bay, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).


Ringkasan AI
  • Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai menganjurkan Malam Merdeka 2025 dengan kehadiran lebih 200 rakyat Malaysia serta pegawai diplomatik bagi menyemarakkan semangat patriotisme.
  • Acara diserikan dengan laungan Merdeka, nyanyian lagu Negaraku dan Jalur Gemilang, persembahan budaya, montaj kemerdekaan, kuiz serta sesi fotografi.
  • Jalur Gemilang sumbangan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis menjadi simbol kesetiaan dan perpaduan, sekali gus memperkukuh semangat kebangsaan rakyat Malaysia di perantauan.


Program ini telah dihadiri oleh lebih 200 orang hadirin termasuk TYT Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin, Duta Besar Malaysia ke UAE, Mohd Fadly Amri Aliaman, Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, serta sebilangan warganegara Malaysia di Dubai dan Emiriah Utara dari pelbagai latar belakang.

Program Malam Merdeka 2025 ini dirangka sebagai wadah untuk menghimpunkan diaspora Malaysia di Dubai serta Emiriah utara, dan seterusnya untuk menzahirkan semangat kebersamaan serta kecintaan terhadap negara melalui pengisian acara yang sarat dengan nilai murni.

Antara pengisian bagi menyerikan majlis termasuk laungan Merdeka, nyanyian lagu Negaraku dan lagu patriotik Jalur Gemilang, persembahan montaj merdeka, slot kuiz kemerdekaan, persembahan kebudayaan dan sesi fotografi bersama sekalian yang hadir.

Majlis ini juga memberi impak yang besar kepada rakyat Malaysia yang hadir dengan memperkukuh rasa kekitaan, mengeratkan hubungan silaturrahim dan menyemarakkan semangat patriotisme.

Penganjuran Malam Merdeka ini turut diberi makna lebih mendalam dengan penggunaan Jalur Gemilang sumbangan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sebagai simbol kesetiaan, perpaduan dan kecintaan rakyat Malaysia terhadap tanah air.

Demikian menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sempena penyerahan koleksi bendera Jalur Gemilang daripada pihak yayasan berkenaan kepada Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai bersempena Sambutan Bulan Kemerdekaan.yang disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berangkat singgah di sana.

Kurniaan tersebut diterima oleh Konsul, Muhammad Imran Muhamad Sedek dan Konsul Pejabat Pertanian Malaysia, Mohd Irfan Idrus.

Turut berangkat sama ialah, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai dengan penuh takzim menjunjung kasih atas kurniaan Jalur Gemilang daripada Tuanku Raja Muda Perlis kepada semua pejabat agensi Kerajaan Malaysia di Dubai bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini.

Penerimaan ini membawa makna yang amat besar kerana bukan sahaja menjadi simbol perpaduan dan kesetiaan kepada tanah air, malah menyuntik semangat kepada warga perkhidmatan awam Malaysia di Dubai untuk terus menghayati erti kemerdekaan walau berada jauh di perantauan.

Bagi Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, kurniaan Jalur Gemilang ini turut memperkukuh peranan misi diplomatik sebagai wadah penyatuan dan penghubung identiti kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia di luar negara.




#Program Sambutan Malam Merdeka 2025 #Dubai #Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin #Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai