Lebih 200 rakyat Thailand terkandas di Myanmar

Bernama
November 11, 2023 20:48 MYT
Pertempuran sengit antara tentera Myanmar dengan kumpulan etnik di negara itu secara tidak langsung memberi kesan kepada penduduk setempat dan warga asing di kawasan terlibat. - AP
BANGKOK: Lebih 200 warga Thailand yang terkandas di bandar Laukkaing, Myanmar sedang menunggu proses penghantaran pulang susulan pertempuran yang semakin sengit antara junta Myanmar dan kumpulan etnik.
Kementerian Luar Thailand dalam satu kenyataan memaklumkan, Setiausaha Tetap Sarun Charoensuwan telah mengadakan pertemuan dengan agensi berkaitan untuk menyelaras usaha membantu rakyat Thailand di Laukkaing.
"Walaupun berdepan cabaran...penyelarasan dengan semua pihak yang berkaitan sedang dilakukan bagi mengeluarkan warga Thailand secepat mungkin apabila keadaan mengizinkan," menurut kenyataan itu.
Kedutaan Thailand di Yangon telah membuat persiapan untuk memastikan mereka dapat kembali dengan selamat.
Pertempuran di sekitar Laukkaing semakin memuncak dan sebutir bom meletup di lokasi berhampiran tempat tinggal warga Thailand pada Jumaat.
"Jabatan Hal Ehwal Konsular telah menghubungi kumpulan itu. Semuanya berada dalam keadaan selamat," menurut kementerian.
-- BERNAMA
#rakyat Thailand #terkandas #Myanmar #penghantaran pulang
;