NATIONAL

Lebih 20,000 warga emas di Shah Alam layak mohon ‘Golden Parking’

Sinar Harian 26/05/2025 | 07:30 MYT
Mohd Fauzi (foto) berkata, inisiatif yang telah bermula sejak awal Mei itu merupakan salah satu usaha MBSA memulangkan semula hasil kutipan cukai kepada pembayar cukai dalam kalangan warga emas. -Sinar Harian
SHAH ALAM: Dianggarkan lebih 20,000 warga emas layak memohon inisiatif parkir percuma atau ‘Golden Parking’ yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun Bandar Raya Shah Alam.


Ringkasan AI
  • Lebih 20,000 warga emas layak memohon inisiatif parkir percuma Golden Parking oleh MBSA sempena sambutan Jubli Perak Shah Alam, dengan syarat berumur 60 tahun ke atas, pembayar cukai MBSA, dan memiliki kenderaan atas nama sendiri.
  • Inisiatif ini sah selama dua tahun dan hanya terpakai di tempat letak kereta terbuka dalam kawasan MBSA, tidak termasuk parkir swasta, OKU, petak khas, atau kawasan larangan.
  • Setakat ini, 628 permohonan diterima dan 449 diluluskan; permohonan boleh dibuat melalui portal MBSA dan dihantar ke kaunter sementara di Seksyen 14, Shah Alam.


Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, inisiatif yang telah bermula sejak awal Mei itu merupakan salah satu usaha MBSA memulangkan semula hasil kutipan cukai kepada pembayar cukai dalam kalangan warga emas.

“Terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi untuk memohon inisiatif berkenaan iaitu berumur 60 tahun dan ke atas serta pembayar cukai taksiran di kawasan pentadbiran MBSA.

“Selain itu, kad pendaftaran (geran) kereta juga perlu di atas nama warga emas tersebut dan mereka hanya layak untuk mendaftar satu kereta melalui sistem Smart Selangor Parking atau Flexi Parking.

“Kemudahan ini juga boleh digunakan selama dua tahun dan mereka boleh perbaharui semula permohonan selepas tempoh berkenaan tamat jika masih berminat,” katanya ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Kali Kelima MBSA di Wisma MBSA, di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, Mohd Fauzi berkata, inisiatif tersebut hanya boleh digunakan di semua tempat letak kereta terbuka di dalam kawasan pentadbiran MBSA.

Menurutnya, ia tidak termasuk tempat letak kereta diswastakan, parkir orang kurang upaya (OKU), petak khas, petak dua jam serta kenderaan yang diletakkan di kawasan jalan selain daripada petak letak kereta disediakan.

Tambahnya, berdasarkan data, jumlah pengguna yang berumur 60 tahun ke atas dan pernah membayar parkir di dalam kawasan pentadbiran MBSA adalah sebanyak 117,202 pengguna manakala melalui data Flexi Parking 37,817 pengguna.

“Sehingga kini, sebanyak 628 permohonan telah diterima dan 449 telah diluluskan MBSA. Baki permohonan yang tidak diluluskan kerana mereka mempunyai tunggakan cukai, kompaun atau saman trafik.

“Mereka perlu menjelaskan tunggakan ini kemudian membuat permohonan semula kepada MBSA bagi meluluskan permohonan tersebut.

“Bagi permohonan yang telah diluluskan, mereka tidak perlu menggunakan pelekat khas, sebaliknya anggota penguatkuasa hanya membuat semakan melalui nombor pendaftaran kenderaan kerana sudah ada rekod ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Fauzi berkata, borang permohonan boleh didapati melalui portal MBSA di pautan www.mbsa.gov.my dan menghantar ke kaunter sementara MBSA, Seksyen 14 di sini. -Sinar Harian




#warga emas #inisiatif parkir percuma #Golden Parking #MBSA #shah alam