KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 32,462 kes penipuan dalam talian bagi tempoh 11 bulan pertama tahun ini dengan nilai kerugian RM1.3 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata jenayah e-dagang mencatatkan kes tertinggi sebanyak 10,993 kes, diikuti jenayah telekomunikasi (9,526); pelaburan tidak wujud (5,036); pinjaman tidak wujud (4,018); jenayah e-kewangan (2,006) dan 'love scam' (883).

Beliau berkata jumlah kes meningkat sebanyak 37.5 peratus dari Januari hingga November tahun ini berbanding 23,608 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

"Selain itu, kes pelaburan tidak wujud mencatatkan kerugian terbesar berjumlah RM421 juta, diikuti dengan jenayah e-dagang (RM382 juta); jenayah telekomunikasi (RM327.9 juta); jenayah e-kewangan (RM103.6 juta); 'love scam' (RM40.9 juta) dan pinjaman tidak wujud (RM38.5 juta).

"Jumlah kerugian tersebut meningkat 33 peratus dari Januari hingga November tahun ini berbanding RM771.1 juta dalam tempoh sama tahun lepas," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Karnival Scam Free Malaysia di Pavilion Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Karnival Scam Free itu yang dianjurkan hari ini adalah kerjasama Whoscall Malaysia dengan JSJK Bukit Aman bertujuan membanteras jenayah komersial di Malaysia.

Whoscall merupakan aplikasi dibangunkan oleh syarikat Gogolook yang membolehkan pengguna mengetahui identiti pihak membuat panggilan.

Ramli berkata sejak PDRM bekerjasama dengan syarikat itu Januari lepas, kadar panggilan dijawab menunjukkan penurunan sebanyak 50 peratus, daripada 66,810 kepada 34,996 panggilan.

"Kerugian yang dicatat dalam kes penipuan dalam talian ini bukan lagi ribuan ringgit tetapi jutaan ringgit. Kami menasihatkan orang ramai bahawa proses pelaburan sebenar bukan mudah dengan menawarkan keuntungan tidak masuk akal ibarat duit turun dari langit," katanya.

-- BERNAMA