MALAYSIA
Lebih 400 pelajar sertai program anti-buli dan kepimpinan di Bentong
Antara rakan strategik terlibat termasuk Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Cawangan Bentong, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Bentong, Majlis Guru Kaunseling Daerah Bentong, Unit D11 Bukit Aman dan CPSKL sendiri. - Foto CPSKL
BENTONG: Seramai 400 murid dari 56 sekolah rendah dan menengah seluruh daerah Bentong menyertai Program Pemimpin Masa Hadapan: Hentikan Buli, Salah Laku Seksual dan Isu Perkauman yang berlangsung di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong pada Khamis.
Program yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bentong dengan kerjasama pelbagai agensi pendidikan dan pertubuhan masyarakat itu bertujuan memupuk kepimpinan berteraskan empati, integriti dan tanggungjawab sosial dalam kalangan murid.
Menurut kenyataan, program ini menjadi platform interaktif bagi mendidik pelajar mengenal pasti dan menangani isu buli serta salah laku seksual sejak di peringkat awal persekolahan.
Antara pengisian utama termasuk ceramah pakar, perkongsian kes sebenar serta aktiviti perbincangan kumpulan yang membolehkan peserta membina pemahaman mendalam terhadap impak psikososial dan undang-undang berkaitan gangguan seksual dan diskriminasi perkauman.

Turut hadir selaku tetamu kehormat, Yang Mulia Tengku Asra Jehan selaku Pengerusi Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Kuala Lumpur (CPSKL), bagi menyampaikan amanat khas untuk membakar semangat para peserta agar tampil sebagai agen perubahan dalam komuniti sekolah masing-masing.
Antara rakan strategik terlibat termasuk Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Cawangan Bentong, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Bentong, Majlis Guru Kaunseling Daerah Bentong, Unit D11 Bukit Aman dan CPSKL sendiri.
Inisiatif ini sejajar dengan matlamat untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, inklusif dan menghormati hak semua murid tanpa mengira latar belakang.