Lebih 400 waris keturunan Hussin Ma Kwantung berhimpun, kenali susur galur

Aida Aziz
Disember 11, 2022 10:33 MYT
Keturunan Hussin Ma datang dari China dan berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1920.- Foto Astro AWANI
TAIPING: Buat julung-julung kali, lebih 400 ahli keluarga keturunan Hussin Ma Kwantung berkumpul pada Majlis Hari Keluarga Keturunan Orang Islam dari Kwantung, China di sebuah hotel di sini, hari ini.
Pengerusi program berkenaan, Azmin Ariffin berkata, kesemua yang berhimpun pada hari ini datang dari seluruh Malaysia termasuk Singapura.
Mengulas lanjut mengenai susur galur dan sejarah keturunan Hussin Ma di negara ini, Azmin berkata dahulunya Hussin Ma datang dari China dan berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1920.
"Dulu orang dari negara China terutamanya Muslim banyak yang berhijrah dan mengembara. Diceritakan yang Hussin Ma merupakan seorang petani, datang ke Pulau Pinang, kemudian ke Pangkor.
"Taiping dipilih menjadi lokasi penganjuran disebabkan Kuala Sepetang di sini merupakan penempatan pertama keluarga Hussin Ma selepas berhijrah dari Pulau Hainan di Tanah Besar China sekitar tahun 1920.
"Berdasarkan kumpulan data diperoleh, terdapat lebih daripada 2,000 individu berketurunan Hussin Ma yang ada di Malaysia serta Singapura namun kami mengehadkan kedatangan ke majlis ini kepada 400 orang sahaja atas kekangan tempat.
"Biarpun ini kali pertama majlis secara besar-besaran sebegini diadakan, namun sambutan diterima sangat menggalakkan," katanya pada sidang media di sini, pada Ahad.
Antara tetamu khas yang hadir pada majlis itu adalah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; serta Presiden Konfederasi Persatuan Hainan Malaysia, Datuk Lim Chiew An.
Ketika ditanya mengapa majlis itu dianjurkan, beliau berkata ia bagi menghimpunkan semula generasi Hussin Ma di samping mahu memastikan warisan keturunan itu tidak lenyap begitu saja.
"Perancangan kami untuk tahun akan berikutnya adalah untuk menghimpunkan lebih ramai ahli keluarga keturunan ini.
"Majlis ini juga dirancang untuk diadakan dua tahun sekali, mungkin di lokasi lain dan membabitkan skala yang lebih besar," katanya lagi.
Sehingga kini Hussin Ma Kwantung mempunyai tujuh generasi yang mempunyai pelbagai latar belakang termasuk perkahwinan campur.
Hussin Ma juga mempunyai tujuh orang anak iaitu Tok Wa Hassan, Tok Ngah Kalsom, Tok Lang Rajmah, Tok Jang Che Ah, Tok Ndak Mohamad, Tok Cik Md Ariffin dan Tok Su Hanafiah.
#Hussin Ma Kwantung #orang islam #Kwantung China #Taiping