Lebih 5,000 peserta bakal berentap di final Malaysia Techlympics 2025

Malaysia Techlympics merupakan inisiatif MOSTI untuk memupuk minat dan bakat generasi muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pertandingan dan aktiviti yang kreatif serta kompetitif.
PUTRAJAYA: Malaysia Techlympics 2025 bakal mencipta sejarah apabila menghimpunkan lebih 5,000 peserta dari seluruh negara dan antarabangsa untuk berentap di peringkat akhir yang dijadual berlangsung pada 9 dan 10 November ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka.
Acara anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu mencatatkan penyertaan luar biasa tahun ini dengan lebih 1.84 juta penyertaan daripada 1,420 sekolah seluruh negara, menjadikannya program pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) terbesar sejak diperkenalkan pada 2022.
Lebih menarik, edisi kali ini turut menyaksikan penyertaan antarabangsa dari Thailand, Kemboja, Indonesia dan China yang akan bertanding dalam empat acara utama di peringkat kebangsaan.
Menurut Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI, Abdullah Daud, Malaysia Techlympics bukan sekadar pertandingan, tetapi satu gerakan nasional yang menyemai minat terhadap STI dalam kalangan generasi muda berusia antara 7 hingga 30 tahun.
“Kami mahu pelajar rasa bangga, ibu bapa rasa yakin, dan masyarakat melihat bahawa anak muda Malaysia mampu mencipta masa depan. Dari pentas Malaysia Techlympics ini, mungkin lahir saintis, pencipta dan usahawan teknologi masa depan negara,” katanya.
Tambah beliau, penyertaan pasukan antarabangsa serta peluang ke kejohanan global membuktikan komitmen Malaysia dalam melahirkan generasi muda yang celik teknologi dan bersedia ke pentas dunia.

Menurut Abdullah, Malaysia Techlympics bukan sekadar pertandingan, tetapi satu gerakan nasional yang menyemai minat terhadap STI dalam kalangan generasi muda,
Pemenang pertandingan akhir bukan sahaja membawa pulang trofi dan wang tunai keseluruhan bernilai RM141,100, malah akan mewakili Malaysia ke pertandingan antarabangsa seperti Pilot X International di Hong Kong pada Februari 2025 yang menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari seluruh dunia.
Salah satu keunikan Malaysia Techlympics ialah pendekatan inklusif dan menyeluruh.
Tahun ini, seramai 2,500 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) turut serta dalam Cabaran Mencipta Robot (Keterangkuman), dan buat pertama kali akan bertanding secara fizikal di pentas akhir.
MOSTI turut melaksanakan lebih 90 program keterangkuman di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar, pedalaman dan komuniti Orang Asli bagi memastikan setiap pelajar mendapat peluang yang sama.
Selain pertandingan, MITC Melaka akan menjadi tumpuan dengan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga termasuk pameran STI dengan 40 ruang pameran interaktif, demonstrasi teknologi, aktiviti sains dan pertunjukan khas.
“Salah satu tarikan utama ialah pertunjukan dron dalam bangunan terbesar di Malaysia, melibatkan 40 unit dron yang bakal dicatat dalam Malaysia Book of Records,” kata Abdullah.
MOSTI mensasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung pada hari kemuncak dengan kemasukan percuma untuk orang ramai.
Malaysia Techlympics merupakan inisiatif MOSTI untuk memupuk minat dan bakat generasi muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pertandingan dan aktiviti yang kreatif serta kompetitif.
Antara tema utama pertandingan akhir ialah kecerdasan buatan (AI), robotik, pengkomputeran, dron dan percetakan 3D.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


