MALAYSIA

Lebih AS$50 bilion diperlukan bagi siapkan Projek Grid Kuasa ASEAN - TPM Fadillah

Bernama 04/09/2025 | 12:42 MYT
Fadillah berkata, cabaran utama sememangnya berkaitan modal kewangan serta perniagaan yang diperlukan bagi menarik lebih ramai pelabur. - Bernama
KUCHING: Usaha menyiapkan Projek Grid Kuasa ASEAN memerlukan lebih AS$50 bilion (AS$1 = RM4.22) dan sokongan pembiayaan sedia ada daripada bank-bank antarabangsa masih belum mencukupi setakat ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Bank Dunia telah memperuntukkan sejumlah AS$2.5 bilion manakala Bank Pembangunan Asia menyediakan AS$10 bilion bagi menyokong inisiatif berkenaan.

"Cabaran utama sememangnya berkaitan modal kewangan serta perniagaan yang diperlukan bagi menarik lebih ramai pelabur," katanya kepada pemberita selepas menghadiri penutup sesi pleno Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF) 4.0 di sini, hari ini.

Inisiatif Grid Kuasa ASEAN adalah projek utama serantau bagi meningkatkan keterjaminan tenaga, kemampanan dan integrasi dalam kalangan negara anggota perkumpulan itu.

Terdahulu pada sesi itu, Fadillah menggariskan visi Malaysia bagi masa depan tenaga mampan dan berdaya tahan menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 dengan Malaysia sebagai pengerusi blok itu tahun ini.

Beliau berkata selain penglibatan institusi pembiayaan pelbagai hala, kalangan pelabur swasta dari rantau seperti Timur Tengah, Jepun dan China telah menyuarakan minat terhadap projek grid kuasa berkenaan.

"Ini bakal menjadi pertumbuhan baharu bagi ASEAN kerana membawa bersama pelaburan, peluang pekerjaan serta perniagaan untuk rantau itu secara menyeluruh," katanya.

Menyentuh struktur pembiayaan terbabit, Fadillah berkata pembabitan kerajaan-kerajaan adalah sebagai pemudah cara manakala sektor swasta akan menentukan model komersialnya.

"Singapura misalnya, berkemungkinan menjadi peneraju kerana menjadi pihak yang membuat permintaan. Butiran seperti penajajaminan dan konsep perniagaan akan diserahkan kepada komuniti perniagaan," katanya.

Fadillah berkata sejajar dengan persiapan Indonesia memindahkan ibu negara ke Nusantara, Malaysia turut berusaha mengukuhkan lagi kesalinghubungan rentas sempadan dan keterjaminan tenaga dengan Grid Borneo menjadi asas strategi itu.

Bagi peranan Borneo dan Sarawak dalam projek grid itu, beliau berkata sumber tenaga hidro yang luas sedang dimanfaatkan bagi mengukuhkan grid nasional Malaysia selain membekalkan tenaga bersih kepada negara jiran.

"Grid Borneo lebih daripada sebuah projek tenaga...ini menjadi bukti bahawa Malaysia boleh menjadi peneraju dalam membentuk masa depan tenaga serantau yang bersepadu dan mampan," katanya.

Beliau berkata seiring dengan kewujudan Nusantara di seberang sempadan, Malaysia turut menjadikan Sarawak dan Borneo bukan setakat pembekal tenaga, malah menjadi pemacu ASEAN yang lebih hijau serta kesalinghubungan yang lebih ketara.

-- BERNAMA

#projek grid kuasa #ASEAN #Fadillah Yusof #pembiayaan #bank antarabangsa