[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Lebih 500 Perpustakaan Desa terima peruntukan RM100,000 tahun ini - Saraswathy

Bernama 13/09/2025 | 13:15 MYT
K.Saraswathy (tengah) bersama orang ramai pada Program Kembara Ilmu Ini Warisan Kita, Sentuhan Komuniti Bestari @ Dabong di Padang Awam Kuala Geris hari ini. - Gambar Bernama
KUALA KRAI: Sebanyak 506 Perpustakaan Desa di seluruh negara akan menerima peruntukan berjumlah RM100,000 pada tahun ini menerusi Program Sentuhan Komuniti Bestari.

Timbalan Menteri Perpaduan, K. Saraswathy berkata peruntukan itu diagihkan bagi melaksanakan pelbagai program berskala kecil di bawah inisiatif berkenaan.

"Program Sentuhan Komuniti Bestari memberi fokus kepada peningkatan budaya membaca, literasi digital serta perpaduan komuniti secara inklusif dan menyeluruh dengan melibatkan semua lapisan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kembara Ilmu Ini Warisan Kita, Sentuhan Komuniti Bestari @ Dabong di Padang Awam Kuala Gris, di sini hari ini.

Saraswathy berkata program Kembara Ilmu Ini Warisan Kita adalah manifestasi jelas usaha kerajaan memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata program berkenaan bukan sahaja bertujuan menggalakkan minat membaca, malah memupuk semangat cinta akan tanah air dan menghargai kepelbagaian warisan budaya.

"Melalui inisiatif seperti Kembara Ilmu Ini Warisan Kita, ia dapat memperkukuh jati diri bangsa, menyemarakkan semangat cintakan ilmu dan menghargai khazanah tempatan melalui pendekatan inklusif, kreatif dan berpaksikan komuniti.

"Keunikan program ini turut menyerlahkan gagasan 'Harmoni dalam Kepelbagaian', satu prinsip yang menjadi teras hala tuju Kementerian Perpaduan," katanya.

Beliau menegaskan kepelbagaian budaya di Malaysia bukan penghalang, sebaliknya jambatan untuk rakyat saling memahami dan melengkapi antara satu sama lain.

"Perpaduan satu perjalanan, bukan destinasi. Ia perlu disemai, dipupuk dan dihidupkan dalam kehidupan seharian melalui aktiviti masyarakat, perkongsian ilmu serta penghargaan terhadap warisan kita bersama," katanya.

-- BERNAMA



#perpustakaan desa #khazanah tempatan #Program Sentuhan Komuniti Bestari #budaya membaca