23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
MALAYSIA

Lebih 5,000 berhimpun solidariti Palestin di Melaka

Bernama 05/10/2025 | 14:00 MYT
Lebih 5,000 orang berhimpun secara aman bagi mengutuk kekejaman rejim Zionis terhadap Palestin termasuk penahanan aktivis dalam misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini. - Foto X/BERNAMA
MELAKA: Lebih 5,000 orang berhimpun secara aman bagi mengutuk kekejaman rejim Zionis terhadap Palestin termasuk penahanan aktivis dalam misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.

Himpunan "Solidariti Sumud Flotila Melaka" dengan perarakan bermula di hadapan Bangunan Stadthuys hingga ke dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir itu disertai individu pelbagai agama, bangsa dan kaum dari Johor, Negeri Sembilan serta ibu negara termasuk pelancong asing.

Pengasas Akademi Kepimpinan Anak Bangsa Afiq Nordin berkata himpunan itu merentasi agama, bangsa dan sempadan negara kerana isu utamanya ialah berkaitan kemanusiaan.

"Himpunan ini bukan hanya menyatakan solidariti kepada peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF), tetapi juga buat seluruh rakyat Palestin dan kita mahu masyarakat dunia tahu apa yang sedang berlaku di Gaza.

"Kita juga menzahirkan penghargaan yang tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan di sinilah kita lihat hasil persahabatan serta hubungan diplomatik yang baik antara negara dengan negara lain, membuatkan kita senang membawa pulang aktivis kita," katanya kepada pemberita.

Himpunan berkenaan turut disertai pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Cinta Gaza Malaysia, wakil kerajaan negeri dan pempengaruh.

Seorang peserta himpunan itu yang juga Ahli Majlis Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Melaka Azian Ahmad berkata beliau mewakili golongan OKU pendengaran dan pertuturan seluruh dunia mengutuk kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin khususnya Gaza.

"Kami bersama-sama dengan seluruh dunia di himpunan ini mahu Palestin dibebaskan," katanya yang juga Exco Persatuan Orang Pekak Melaka.

Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Mereka kini berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Israel dan dijadualkan berlepas pulang ke tanah air esok.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

-- BERNAMA




#himpunan aman #misi kemanusiaan ke Gaza #Solidariti Sumud Flotila Melaka #Global Sumud Flotilla GSF