MALAYSIA
Lebih 500,000 tan e-waste diproses setakat Jun 2025, JAS perkukuh pengurusan

Wan Abdul Latiff berkata e-waste semakin meningkat sejajar dengan penggunaan peralatan digital yang meluas. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan sebanyak 536,709 tan metrik sisa elektrik dan elektronik (e-waste) telah diproses oleh premis berlesen dari Januari 2021 hingga Jun 2025.
Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata e-waste semakin meningkat sejajar dengan penggunaan peralatan digital yang meluas.
"Sekiranya e-waste tidak diurus dengan baik dan dibuang sewenang-wenangnya, ia boleh memberi implikasi besar terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.
"Sehubungan itu, JAS telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pengurusan e-waste antaranya memperluaskan fasiliti pemerolehan kembali e-waste berlesen. Ketika ini terdapat 128 fasiliti pemerolehan kembali di seluruh negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Beliau berkata inisiatif lain termasuk memperkasa kempen kesedaran awam untuk menggalakkan pelupusan peralatan elektrik terpakai secara selamat dan meningkatkan penguatkuasaan terhadap pengurusan e-waste tidak berlesen melalui operasi khas iaitu Ops Hazard, yang telah dijalankan dengan 351 tindakan undang-undang diambil mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
"JAS menyeru masyarakat dan pihak industri agar bertanggungjawab dalam menguruskan e-waste secara mesra alam dengan menyalurkannya ke fasiliti pemerolehan kembali yang sah," katanya.
Sementara itu, Wan Abdul Latiff berkata isu jerebu turut menjadi fokus utama kerana ia turut memberi impak kesihatan yang serius kepada masyarakat.
Beliau berkata JAS sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melalui 68 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara setiap jam melalui Pusat Data Kualiti Alam Sekitar (EDC) di Putrajaya.
"Di peringkat antarabangsa, Malaysia terus bekerjasama dengan negara jiran melalui Perjanjian ASEAN mengenai Jerebu Rentas Sempadan bagi menyelaras tindakan pencegahan dan mitigasi kebakaran tanah serta hutan di rantau ini.
"Melalui platform ini, Malaysia turut menyuarakan pelbagai cadangan dan inisiatif kepada negara jiran untuk membanteras isu kebakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu merentas sempadan," katanya.
Di peringkat domestik pula, Wan Abdul Latiff berkata pelbagai tindakan turut dilaksanakan dengan segera termasuk penguatkuasaan undang-undang dan rondaan di kawasan panas (hotspot), pemadaman kebakaran terbuka bersama agensi berkaitan, perwakilan kuasa kepada 13 agensi lain yang telah diwartakan pada 7 Julai lepas dan berkuat kuasa pada 8 Julai lepas bagi memperkukuh pendekatan seluruh kerajaan.
"Langkah ini merupakan inisiatif strategik bagi memperkukuh pelaksanaan tindakan penguatkuasaan di lapangan, terutamanya dalam menangani isu pembakaran terbuka yang menyumbang kepada situasi jerebu. Pewakilan kuasa ini membolehkan tindakan segera, bersepadu dan lebih menyeluruh dapat dilaksanakan dengan pantas oleh agensi berkaitan," katanya.
Beliau berkata sebagai langkah kesiapsiagaan dan penyelarasan yang lebih komprehensif, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut telah diaktifkan sejak 26 Feb lepas bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.
Selain itu, beliau berkata kerjasama rondaan dan pemantauan turut dijalankan bersama agensi rakan strategik seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain di peringkat negeri dan daerah.
"Hingga semalam, JAS telah melaksanakan 4,247 rondaan darat, 859 penerbangan dron untuk memantau aktiviti pembakaran terbuka dan 58 Notis Arahan, 27 tindakan mahkamah dan 59 kompaun dikenakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan berkaitan pembakaran terbuka," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami