KUALA LUMPUR: Lebih 6,000 anak-anak Sarawak di semenanjung akan berkampung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 15 Oktober bagi meraikan program Lan Berambeh Anak Sarawak 2022.

Acara tahunan edisi ke-14 itu kembali selepas dua tahun ditangguhkan akibat COVID-19 sejak kali terakhir dianjurkan pada tahun 2019 lalu.

Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata acara itu diadakan kerajaan negeri agar interaksi yang lebih rapat dan berintelektual dapat dilangsungkan antara pemimpin dan anak sarawak khasnya para belia yang menuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Semenanjung.

Merangkap Menteri Bertanggungjawab, Fadillah berkata platform tersebut membudayakan gaya kepimpinan berkaliber setiap pemimpin Sarawak yang berjiwa rakyat.

“Semasa sesi townhall bersama Premier Sarawak, anak-anak Sarawak ini berpeluang untuk berinteraksi secara terus kepada beliau untuk meluahkan apa sahaja masalah atau cadangan yang mereka boleh kemukakan.

“Ini adalah sebenarnya tujuan Lan Berambeh diadakan iaitu platform interaksi di peringkat kepimpinan tertinggi Kerajaan Sarawak dan juga pegawai-pegawai kerajaan dengan anak-anak sarawak yang berada di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan akhir Lan Berambeh Anak Sarawak 2022 edisi ke-14 di MITEC Kuala Lumpur pada Jumaat.

Selain sesi townhall bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, acara ini turut fokus kepada sesi diskusi bersama pegawai kerajaan dan lebih 28 reruai pameran berhubung Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Dalam pada itu, Fadillah berkata Lan Berambeh adalah komitmen kerajaan untuk mendengar dan menyelesaikan segera isu yang dilalui anak Sarawak di Semenanjung berdasarkan saranan yang diutarakan dalam setiap sesi penganjurannya.

“Salah satu contoh hasil daripada penganjuran Lan Berambeh semasa interaksi townhall dahulu ialah apbila mereka (pelajar IPT) menyuarakan permasalahan tambang kapal terbang pergi balik yang amat mahal sehingga kerajaan negeri  memperkenalkan Inisiatif Graduan Pulang Sarawakc (IGPS).

“Melalui IGPS,  kerajaan negeri telah memperuntukan sejumlah RM600 kepada pelajar-pelajar dan ia boleh dituntut sebanyak dua kali iaitu RM300 setiap tuntutan yang diselaraskan oleh persatuan Anak Sarawak bersama Yayasan Sarawak,” ujarnya lanjut.

Untuk makluman, jumlah pengunjung ke Lan Berambeh kali ini terpaksa dihadkan bagi mematuhi prosedur peralihan negara ke fasa endemik dan pernah mencatatkan sehingga lebih 10,000 pengunjung sejak pertama kali dianjurkan pada tahun 2007.