JOHOR BAHRU: Seramai 61,957 golongan B40 menerima subsidi di bawah Program Subsidi Pembelian Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak Keluarga Malaysia (MyCRS) dengan tuntutan rebat sebanyak RM8.8 juta, sejak 1 Mac lepas.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program rebat pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) di bawah Belanjawan 2022 yang berakhir hari ini telah menerima sebanyak 527,254 permohonan.

"Keprihatinan kerajaan Malaysia dalam membantu golongan B40 dizahirkan dengan pemberian rebat sebanyak 50 peratus atau sehingga RM150 untuk pembelian CRS.

"Inisiatif ini merupakan antara usaha kerajaan meringankan beban golongan B40 untuk membeli dan memiliki CRS yang berkualiti pada harga yang berpatutan," menurut kenyataan itu.

Menurut MIROS, antara usaha mempromosikan Program Subsidi MyCRS adalah melalui penganjuran Program Jelajah Subsidi MyCRS yang bertujuan membantu orang awam berkelayakan untuk mendaftar dan mendapatkan kelulusan permohonan subsidi dengan segera.

Sementara itu, Ketua Pengarah MIROS Datuk Khairil Anwar Abu Kassim dalam kenyataan sama berkata pihaknya amat berbesar hati kerana kerajaan terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberi keutamaan terhadap program subsidi CRS itu kepada golongan B40.

"Program ini merupakan satu tanggungjawab kerajaan kepada Keluarga Malaysia untuk memperjuangkan dan meningkatkan tahap keselamatan penumpang kanak-kanak di dalam kenderaan, selain untuk menyokong kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi di Malaysia," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan program subsidi MyCRS telah mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada Kementerian Pengangkutan dan pengedar serta wakil sah penjual CRS seperti Koopers Distribution Sdn Bhd, Quinton Baby, Crolla Baby, Little One Group dan SNS Products Sdn Bhd.

Menurut Khairil Anwar, MIROS sentiasa komited dan menyokong usaha serta kerjasama strategik daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta bagi meningkatkan kesedaran orang awam khususnya ibu bapa dalam menitikberatkan penggunaan tali pinggang keledar dan CRS ketika berada di dalam kenderaan.

Khairil Anwar berharap Program Subsidi MyCRS itu menjadi satu pemangkin dan permulaan baharu ke arah membudayakan amalan keselamatan jalan raya di dalam kehidupan seharian.

Terdahulu, Khairil Anwar menyempurnakan Majlis Penutup Sempena Hari Terakhir program MyCRS di sini dan pelbagai aktiviti diadakan termasuk pemeriksaan CRS bagi memberi panduan dan nasihat kepada ibu bapa dalam memastikan ia sesuai mengikut umur dan had ketinggian yang ditetapkan.

-- BERNAMA