Lebih 80 peratus penempatan setinggan tertumpu di Johor Bahru - Exco

Mohd Jafni berkata kerajaan negeri sentiasa menekankan pendekatan berhemah dalam menyelesaikan isu penempatan setinggan membabitkan warga tempatan. - Gambar fail/BERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Johor Bahru mencatatkan jumlah tertinggi penempatan setinggan di negeri itu, dengan anggaran lebih 80 peratus daripada keseluruhan 9,582 buah rumah yang direkodkan berada di daerah berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata berdasarkan data Pejabat Tanah Daerah dari tahun 2023 hingga September lepas, daerah itu merekodkan 8,059 buah rumah di 56 kawasan penempatan.
"Kes setinggan ini melibatkan beberapa kategori tanah, sama ada di bawah tanah kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan atau milik pemaju," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Iskandar Puteri Rendah Karbon di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status semasa jumlah rumah setinggan di seluruh negeri Johor.
Mohd Jafni berkata kerajaan negeri sentiasa menekankan pendekatan berhemah dalam menyelesaikan isu penempatan setinggan membabitkan warga tempatan.
Beliau berkata antara langkah diambil termasuk menawarkan rumah kepada mereka yang telah tinggal di Johor melebihi 10 tahun, bagi membolehkan proses penempatan semula dijalankan secara terancang dan berperingkat.
"Mereka akan dipindahkan secara berperingkat mengikut perancangan kerajaan negeri," katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menghuni rumah setinggan termasuk melalui operasi penahanan oleh pihak berkuasa.
Pada Rabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin Mohd Hairi Mad Shah dipetik berkata tindakan merobohkan 11 buah rumah setinggan di Kebun Teh, di sini pada 15 Okt lepas, dilakukan selepas penempatan itu didapati didirikan di atas tanah rizab kubur serta kawasan berisiko malaria.
Beliau berkata hasil siasatan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut mendedahkan kebanyakan rumah berkenaan didiami warga asing, dengan lebih 100 individu ditahan dalam operasi itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


