Lebih 80 peratus pengguna pulih daripada gangguan bekalan air - PBAPP

Bernama
September 29, 2023 13:42 MYT
Lebih 80 peratus pengguna telah pulih daripada gangguan bekalan air susulan insiden kekeruhan air mentah Sungai Muda, pagi tadi. - Gambar hiasan/BERNAMA
GEORGE TOWN: Lebih 80 peratus pengguna telah pulih daripada gangguan bekalan air susulan insiden kekeruhan air mentah Sungai Muda, pagi tadi.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataan memaklumkan setakat 3.30 petang tadi, bekalan air kepada 391,239 daripada 465,004 pengguna terjejas di Seberang Perai dan Pulau Pinang telah dipulihkan.
"Kekeruhan air mentah Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang telah turun kepada 547.9 NTU (nephelometric turbidity units). PBAPP mengabstrak air mentah pada kapasiti 100 peratus di Lahar Tiang untuk dipam ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
"Pengeluaran air terawat di LRA Sungai Dua pula telah mencapai 94.6 peratus daripada kapasiti maksimum," menurut kenyataan itu.
PBAPP memaklumkan Pasukan respons kecemasan (ERP) PBAPP diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya K. Pathmanathan menyasarkan untuk memulihkan sepenuhnya perkhidmatan bekalan air di seluruh negeri pada esok.
Gangguan bekalan air susulan kekeruhan air mentah Sungai Muda itu berlaku disebabkan oleh banjir di daerah Baling, Kedah dan insiden seumpama itu pernah berlaku sebelum ini.
-- BERNAMA
#gangguan bekalan air #insiden kekeruhan air mentah #Sungai Muda #PBAPP #Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang