Lebih banyak mudarat, Tun Mahathir tidak setuju eksport ketum dibenarkan

Abd Hadi Che Awang
Mac 30, 2022 07:33 MYT
Kata Tun M, dari sudut kesihatan, pengambilan ubatan daripada daun ketum melebihi had yang ditetapkan juga boleh membawa kepada mudarat termasuk menjejaskan tahap kesihatan.- Gambar hiasan
LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk mengeksport ketum secara sah ke negara Thailand.
Menurutnya, keburukan atau mudarat daripada daun ketum lebih banyak berbanding kebaikan yang ada termasuk boleh membawa kepada ketagihan yang melampau.
Tambah beliau, dari sudut kesihatan, pengambilan ubatan daripada daun ketum melebihi had yang ditetapkan juga boleh membawa kepada mudarat termasuk menjejaskan tahap kesihatan.
Dr Mahathir menyatakan bahawa adalah lebih baik pihak yang mencadangkan cadangan berkenaan mencari sumber pendapatan melalui cara lain berbanding keputusan untuk membenarkan eksport ketum.
"Semua ini dilarang (sebenarnya), kenapa dilarang, sebab apabila kita makan semua ini kita buat benda yang tidak patut kita buat, kerana benda ini tidak ada 'control' dah, kerana dia mempengaruhi fikiran kita,
"(Kalau) tengok orang mabuk, macam bukan manusia dah, kalau ketum itu menjadikan orang mabuk, kita jangan meniaga ketum, macam mana kita tidak boleh niaga arak, dan kita tak boleh meniaga babi pasal (ia) haram.
"(Dari sudut kesihatan, ini) bukan makan daun, (caranya) kena sedut ubat dalam daun itu dan dijadikan dalam pil baharu (ketum) jadi ubat, (kena) ambik ikut sukatan, tiap-tiap ubat yang kita makan banyak akan (jadi)mabuk, (kalau) banyak lagi akan mati,jadi ubat (kita kena) makan sikit," katanya.
Eksport Ketum | Tun M tak setuju dengan MB Kedah, bawa kemudaratan
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan bakul Ramadan di Masjid Al-Naim, Makam Mahsuri pada Rabu.
16 Mac lalu, Kerajaan negeri Kedah berharap agar kerajaan Persekutuan membenarkan negeri itu menjadi pengeksport daun ketum yang sah ke negara Thailand terutama bagi tujuan perubatan.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kebenaran itu akan memberi banyak manfaat kepada banyak pihak terutama kerajaan melalui kutipan cukai hasil daripada aktiviti mengeksport daun ketum.
Bagaimanapun dalam reaksinya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand seperti mana yang dicadangkan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ini kerana perkara itu bertentangan dengan Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan di negara ini, yang antara lain melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.
#eksport ketum #Mahathir Mohamad #Muhammad Sanusi Md Nor #Thailand