Seorang peguam, Badan Peguam dan Majlis Peguam diberi lebih banyak masa oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk menyelesaikan saman oleh peguam berkenaan yang mencabar kesahihan notis untuk mesyuarat agung luar biasa (EGM), tahun lepas.

Hakim Datuk John Louis O'Hara menetapkan 13 Mac ini bagi pengurusan kes selanjutnya selepas mengadakan pertemuan dengan peguam kedua-dua pihak apabila kes itu disebut dalam kamar hari ini.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, selaku plaintif, diwakili oleh Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman manakala Tommy Thomas bertindak bagi defendan iaitu Badan Peguam dan Majlis Peguam.

"Hakim O'Hara memberikan kita lebih banyak masa untuk mengkaji cara-cara untuk menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah sebelum mesyuarat agung tahunan (AGM) Badan Peguam pada 16 Mac ini," kata Abdul Aziz kepada pemberita.

Katanyanya beliau menerima surat daripada Thomas pagi tadi dengan menyatakan perkara itu akan dibawa ke mesyuarat AGM untuk ketetapan dan menyelesaikan isu yang dikemukakan oleh Mohd Khairul.

"Bagi kami, kita mahu mahkamah ini menangani isu yang diketengahkan oleh Mohd Khairul Azam sama ada Badan Peguam merupakan pihak berkuasa awam sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 160(2) Akta Profesion Undang-Undang (LPA) 1976," tegas peguam kanan itu.

Abdul Aziz berkata kedua-dua defendan hanya gagal mematuhi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan apabila tidak menggunakan bahasa Melayu dalam segala urusan rasminya.

Dalam saman difailkan pada 16 Mei tahun lepas, Mohd Khairul Azam antara lain mendakwa mesyuarat EGM itu sebagai tidak sah kerana notis panggilan mesyuarat dikeluarkan oleh pihak defendan bertarikh 4 Mei 2012 tidak dibuat dalam bahasa Melayu.