Lebih ramai anggota polis berkhidmat di lapangan

Bernama
Mei 24, 2017 03:51 MYT
Fasa Pertama bagi 10 inisiatif Kepolisan Moden disempurnakan pada 31 Okt 2016, dengan pelaksanaannya diterajui Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur serta 24 balai polis di bawah seliaannya. - Gambar hiasan
Langkah mentransformasi pasukan polis melalui inisiatif Kepolisan Moden menjurus kepada kira-kira 10 peratus tenaga manusia atau 11,500 anggota polis dapat ditugaskan semula untuk berkhidmat di lapangan.
Menurut Laporan Tahunan 2016 Program Transformasi Negara (NTP), penambahbaikan teknologi akan terus dilakukan untuk mengurangkan pertindihan tugas dan seterusnya memberi lebih banyak masa kepada anggota polis untuk membuat rondaan dan menjalankan tugas kepolisan teras yang lain.
Fasa Pertama bagi 10 inisiatif Kepolisan Moden disempurnakan pada 31 Okt 2016, dengan pelaksanaannya diterajui Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur serta 24 balai polis di bawah seliaannya.
Inisiatif itu termasuk perubahan kaedah pemfailan laporan daripada manual secara tulisan tangan kepada kaedah pemfailan elektronik.
"Program Kepolisan Moden ini turut memberi penekanan kepada tugas rondaan lebih menyeluruh dan berkesan sekali gus meningkatkan kredibiliti dan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis," kata laporan itu yang dikeluarkan semalam.
Dalam pada itu, menurut laporan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil pendekatan lebih tegas dalam penguatkuasaan undang-undang bagi pelanggaran undang-undang lazim.
Sehingga Disember 2016, polis mengeluarkan 1.67 juta saman dan 665,111 daripadanya telah dijelaskan dengan jumlah kutipan kira-kira RM81.3 juta.
Bagi 2017, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah akan berusaha mencapai sasaran lebih tinggi bagi kutipan saman iaitu 40 peratus berbanding 30 peratus pada 2016, menurut laporan itu.
NKRA Mengurangkan Jenayah berjaya mengurangkan Indeks Jenayah sebanyak 47 peratus dalam tempoh 2010 hingga 2016, dengan memperlihatkan bilangan kes jenayah menurun daripada 209,817 kes pada 2009 kepada 112,354 pada 2016.
Secara keseluruhannya, NKRA Mengurangkan Jenayah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 118 peratus, melebihi sasaran yang ditetapkan bagi 2016, kata laporan itu.
-- BERNAMA
#jenayah #NTP #PDRM #polis #rakyat #undang-undang