MALAYSIA

Lebih ramai dapat manfaat Jualan Rahmah termasuk penduduk luar bandar - Ahmad Zahid

Bernama 27/07/2025 | 11:30 MYT
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri berucap ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub hari ini. - Foto BERNAMA
RAUB: Peruntukan tambahan RM300 juta untuk program Jualan Rahmah MADANI membuka peluang kepada lebih ramai masyarakat memiliki barangan dengan harga rendah termasuk penduduk di kawasan luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pertambahan peruntukan itu bagi memastikan program berkenaan dilaksanakan dengan lebih meluas, termasuk di kawasan yang telah dikenal pasti mengikut setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Tumpuan program ini ialah di kawasan yang berkepadatan tinggi di kawasan bandar dan pinggir bandar tanpa melupakan kawasan luar bandar yang kita telah kenal pasti mengikut DUN.

"Kumpulan sasaran harus mengambil peluang untuk membeli, kerana barang-barang itu dijual dengan harga diskaun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub di sini hari ini.

Pada 23 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan bagi program itu ditingkatkan sekali ganda kepada RM600 juta tahun ini berbanding RM300 juta yang telah disediakan.

Anwar dilaporkan berkata peruntukan tambahan itu antaranya akan meningkatkan kekerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara meliputi kesemua 600 DUN.

Jualan Rahmah yang dilancarkan pada 11 Jan 2023 ialah program jualan murah sepanjang tahun yang bertujuan merancakkan ekonomi sektor peruncitan kawasan setempat, di samping membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Menerusi program itu orang ramai diberikan diskaun penjimatan harga barangan keperluan harian antara 10 sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga biasa pasaran setempat.

-- BERNAMA


#Jualan Rahmah #peruntukan tambahan #penduduk luar bandar #Ahmad Zahid Hamidi