Kementerian Kesihatan (KKM) berhasrat melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang perubatan keluarga untuk ditempatkan di klinik-klinik kesihatan menjelang Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, ketika ini hanya terdapat 300 pakar dalam bidang itu dan ia menyukarkan pihak kementerian untuk menempatkan mereka di klinik-klinik kesihatan.

“Kita mahu pakar perubatan di masa depan akan menjadi pakar yang lebih bersifat individualistik yang lebih dekat dan mengenali pesakit yang dirawat.

Sekarang ini tak ramai (pakar perubatan keluarga), jadi tak boleh nak tempatkan mereka dan bukan semua ada pakar perubatan keluarga. Kita mahu pada masa akan datang perkhidmatan kesihatan bersifat lebih individualistik.

"Kami nak jadikan perkhidmatan perubatan pada masa akan datang pakar-pakar dan doktor kenal pesakit mereka, tahu penyakit mereka. Ini adalah perancangan jangka panjang kami untuk memfokuskan kepada penjagaan utama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan beg sekolah kepada 80 murid Sekolah Kebangsaan Teluk Bahang, dekat sini hari ini.

Tambahnya, sekiranya doktor pakar ditambah mereka dapat mengenali pesakit dengan dan memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.

“Kita juga menggalakkan doktor pelatih mengikuti latihan perubatan dalam bidang itu di universiti tempatan dan luar negara.

“Selain itu, kita juga akan mencari alternatif bagi membolehkan doktor pakar terus kekal dalam perkhidmatan kerajaan,” jelasnya.

Dr Hilmi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelancaran Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan Dialog Perdana yang julung kali diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM).

Antara topik yang diutarakan wakil-wakil golongan muda adalah ekonomi digital, pendidikan, kesedaran sivik, perpaduan, kesejahteraan bandar, pembangunan luar bandar, merapatkan jurang pendapatan, perkhidmatan awam, alam sekitar dan sukan.

TN50 yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara bagi tempoh 30 tahun selepas 2020.