Lebih RM10 juta nilai rampasan dalam serbuan mini makmal dadah

Bernama
November 29, 2021 22:40 MYT
Razarudin (dua, kanan) menunjukkan dadah jenis Heroin yang dirampas dalam kejayaan membongkar makmal memproses dadah dianggarkan bernilai RM8.09 juta di sekitar Selangor pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. Bernama
SHAH ALAM: Polis menumpaskan satu sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah jenis heroin dan pil ekstasi menerusi enam siri serbuan di sekitar Selangor, hasil penahanan 10 lelaki tempatan pada 22 Nov lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata kegiatan sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu berjaya dibongkar pihaknya, menerusi serbuan yang dijalankan serentak oleh JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, antara jam 12.10 hingga 4.30 petang sekitar Gombak dan Puchong.
Menerusi serbuan tersebut pihaknya juga turut membongkar aktiviti pemprosesan dadah dipercayai jenis heroin, yang dijalankan di sebuah premis rumah kedai di sekitar kawasan Bukit Puchong, Puchong.
"Hasil serbuan di kesemua lokasi itu, pihak kami telah berjaya merampas sejumlah 19.7 kilogram (kg) dadah heroin base; 43.1kg dadah heroin; 3.2kg pil ekstasi dan 110kg serbuk dadah MDMA dianggar bernilai RM8.09 juta," katanya pada sidang media di IPK Selangor, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.
Razarudin berkata bekalan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.
Selain itu, katanya polis turut merampas dan menyita aset-aset sindiket berkenaan termasuk pelbagai jenis kenderaan mewah, barang kemas serta tindakan pembekuan akaun bank serta wang tunai, bernilai lebih RM2.039 juta.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan lebih RM10 juta," katanya.
Razarudin berkata saringan awal pihaknya terhadap 10 suspek tersebut mendapati salah seorang daripadanya positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin dan lapan daripadanya mempunyai rekod lampau dadah serta jenayah.
Katanya kes tersebut kini disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek telah direman selama lima hingga 11 hari bermula 23 Nov lalu.
-- BERNAMA
#Bukit Aman #pemprosesan dadah #Bukit Puchong #Razarudin Husain