Lebih sejuta penganut Hindu dijangka banjiri Pulau Pinang sempena Thaipusam 2026

Persiapan rapi giat dijalankan pihak kuil serta jawatankuasa terlibat bagi memastikan perayaan penting bagi kaum India itu berjalan lancar.
- Bernama
GEORGE TOWN: Lebih sejuta penganut agama Hindu dan pelancong dijangka membanjiri Pulau Pinang sempena perayaan Thaipusam yang disambut pada 1 Feb depan.
Timbalan Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) menjangkakan Dr R.Lingeshwaran berkata sehubungan itu, persiapan rapi sedang giat dijalankan pihak kuil serta jawatankuasa terlibat bagi memastikan perayaan penting bagi kaum India itu berjalan lancar seperti tahun-tahun sebelumnya.
"Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun lepas, jumlah pengunjung hadir dianggarkan satu juta dan tahun ini kita jangkakan akan lebih lagi kerana sambutan berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu, Ahad dan Isnin dengan acara kemuncak pada Ahad, 1 Feb iaitu hari Thaipusam.
"Selain itu ketibaan pelancong terutama dari India juga dijangka meningkat kali ini berikutan pembukaan semula penerbangan terus dari Chennai ke Pulau Pinang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam di Jalan Kebun Bunga di sini, hari ini.
Beliau memaklumkan pihaknya juga bekerjasama rapat dengan polis serta agensi berkaitan dalam merangka perancangan sambutan dari pelbagai aspek memandangkan ia merupakan acara peringkat negeri dan berskala besar.
Sementara itu, bersempena kedatangan Thaipusam, LWHPP hari ini mengambil inisiatif dengan kerjasama kuil menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa warga emas dan orang kurang upaya (OKU) ke kuil atas bukit tersebut.
Lingeshwaran berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan golongan berkenaan yang berhajat untuk melakukan upacara sembahyang serta menunaikan nazar dan hajat keagamaan dapat melaksanakannya dalam keadaan selamat tanpa perlu bersesak dengan orang ramai pada hari Thaipusam nanti.
"Tahun lepas kita ada buat inisiatif serupa tetapi caranya berbeza iaitu membawa mereka ke atas menggunakan tenaga manusia dengan mendaki tangga.
"Tahun ini atas faktor keselamatan kita sediakan empat buah pacuan empat roda dengan dibantu oleh 40 orang sukarelawan.Seramai 60 warga emas dan OKU dibawa naik ke kuil tersebut hari ini," katanya.
Beliau berkata langkah itu diambil bertujuan mengelakkan risiko kecederaan akibat penggunaan tangga yang curam khususnya kepada warga emas dan pesakit kurang upaya, disamping mengurangkan pendedahan kepada penyakit berjangkit seperti influenza dan penyakit berkaitan pernafasan.
Sementara itu, seorang warga emas R. Punithavathi, 73, berterima kasih kepada LWHPP atas keprihatinan terhadap golongan memerlukan terutama warga emas dalam memberi peluang kepada mereka untuk naik ke kuil tersebut bagi upacara keagamaan.
Wanita itu berkata dia membawa suami, K.Muniandy, 73, yang berkerusi roda selepas kaki kirinya dipotong hingga paras peha akibat kemalangan dengan lori enam tahun lepas.
"Kami hanya tinggal berdua di rumah jadi memang susah nak bawa dia ke sini memandangkan saya pun sudah tua dan kurang sihat. Hari ini, hajat suami untuk naik berdoa di kuil tercapai dan saya berharap kami berdua diberikan kesihatan yang baik," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


