KUALA LUMPUR: Tinjauan 'Student Voice Matters' oleh project-id.org mendapati lebih separuh pelajar negara ini memilih pembelajaran hibrid sebagai cara belajar mereka.

Sebanyak 58 peratus responden mahu belajar dalam talian dan luar talian berbanding 35 peratus yang mahu kelas fizikal sementara tujuh peratus lagi mahu kelas dalam talian sepenuhnya pada masa hadapan.

Pengasas bersama Project ID, Kelvin Tan menjelaskan, tinjauan turut menunjukkan bahawa pelajar melihat nilai pembelajaran dalam talian dan menghargainya.

"Sebagai pendidik, ini adalah kesempatan bagi kami untuk mendengar kemahuan pelajar dan memenuhi keperluan pembelajaran mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun katanya, ada cabaran yang harus diatasi untuk melangkah maju dengan pembelajaran dalam talian.

Pada tahun ini sahaja, lebih daripada 55 peratus pelajar mengakui berhadapan cabaran kekurangan motivasi ketika belajar dalam talian.

Kebolehcapaian internet juga merupakan masalah utama bagi banyak pelajar, dengan hampir separuh daripada responden menunjukkan bahawa sambungan internet yang buruk adalah cabaran bagi mereka.

Pembelajaran dalam talian juga tidak sama untuk semua pelajar. Pelajar tingkatan 5 dilaporkan menghadapi lebih tekanan dan peningkatan beban kerja - sekali gus menunjukkan bahawa peperiksaan utama seperti SPM memerlukan lebih banyak masa bersama guru di sekolah.

Sebilangan besar pelajar juga menyatakan bahawa mereka berpuas hati dengan sokongan yang diterima dari pihak sekolah dan guru pada masa kini.

"Ini berlaku untuk pelajar yang menduduki peperiksaan utama. Ini adalah usaha yang dilakukan oleh guru untuk memastikan pembelajaran berterusan pada musim pandemik

Tinjauan serupa yang dilakukan oleh Project ID pada tahun 2020 diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dan dianalisis bersama dengan perunding Big Three, Bain & Company dan digunakan untuk laporan Teach for Malaysia.

Ia telah dipetik berkali-kali termasuk oleh Bank Dunia dan Learn Tech Asia.

Kajian oleh Project ID ini adalah sebahagian daripada siri tiga untuk memahami keperluan secara holistik
pelajar Malaysia.

Dua bahagian berikutnya akan meneroka kesan yang tidak dapat diramalkan akibat penutupan sekolah dalam aspek kesejahteraan pelajar dan tinjauan untuk mengumpulkan perspektif pelajar mengenai struktur pembelajaran masa depan mereka yang ideal.