[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Lebih tujuh jam padam kebakaran kilang telur masin

Sinar Harian 06/04/2025 | 05:15 MYT
Sebuah kilang memproses telur masin di Trong musnah terbakar 80 peratus pada Ahad. -Foto JBPM Perak
TAIPING: Pasukan bomba mengambil masa lebih tujuh jam untuk memadam kebakaran melibatkan sebuah kilang memproses telur masin di Kampung Nibong, Temerlok, Trong, di sini, pada Ahad.

Ringkasan AI
  • Sebuah kilang memproses telur masin di Trong musnah terbakar 80 peratus pada Ahad, dan pasukan bomba mengambil masa lebih tujuh jam untuk memadam kebakaran.
  • Kebakaran melibatkan kilang berkeluasan 836 meter persegi, dan operasi pemadaman melibatkan 25 pegawai dan anggota bomba bersama lima jentera dari beberapa balai bomba.
  • Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian diterima pada jam 2 pagi dan kebakaran melibatkan kilang berkeluasan 836 meter persegi.
Menurutnya, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Trong diatur gerak ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi, api sedang marak dan peratusan kebakaran pada masa itu dianggarkan lebih 60 peratus.
"Penilaian kawasan dilakukan sebelum operasi pemadaman diteruskan dengan menggunakan aliran air daripada tangki jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan jentera tangki air," katanya di sini pada Ahad.
Sabarodzi berkata, operasi pemadaman melibatkan 25 pegawai dan anggota bomba bersama lima jentera dari BBP Taiping, BBP Pantai Remis, dan BBP Seri Manjung.
"Kejadian itu bagaimanapun tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kecederaan manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
"Kami melakukan kerja-kerja 'overhaul' bagi memastikan api dan bara dipadamkan dan keseluruhan kemusnahan adalah 80 peratus. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.34 pagi," katanya. -Sinar Harian
#Balai Bomba dan Penyelamat #kilang memproses telur masin #Trong #Kampung Nibong Temerlok