LEBUHRAYA Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) sepanjang 24.4 kilometer (km) bermula dari Sri Petaling ke Jalan Hulu Kelang terus menjadi bukti kemajuan dalam pembinaan lebuh raya di dalam negara apabila telah menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.

Lebuhraya SUKE diiktiraf kerana mempunyai struktur bertingkat galang kekotak bersegmen (SBG) tertinggi di Lembah Klang dan ketiga di dalam negara, iaitu pada ketinggian 56.4 meter (m) merentasi Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Besi-Kajang (SBK) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE).

Ia turut menerima mempunyai struktur tanjakan ‘helikoidal’ pertama di dalam negara terletak di persimpangan Cheras-Kajang, selain dianugerahkan Anugerah Reka Bentuk Lebuh Raya Dinamik daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Selain itu, Lebuhraya SUKE dibina dengan 90 peratus bertingkat dan hanya 10 peratus sahaja di atas tanah, termasuk mempunyai tiga lorong dua hala dengan kelebaran 3.5m bagi setiap lorong, selain penyediaan lorong kecemasan selebar tiga meter.

Lebuh raya ikonik itu juga mempunyai 14 persimpangan, iaitu Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Taman Hillview, Bukit Anatarabangsa.

Ia juga menghubungkan tiga plaza tol, iaitu Alam Damai, Bukit Teratai dan Ampang selain akan dilengkapi dengan 40 kamera litar tertutup (CCTV), 22 telefon kecemasan, 22 sistem pengesanan kemalangan kenderaan (VIDS) yang kesemuanya dipasang pada tiang bersepadu, selain dipasang 3,377 lampu jalan Light Emitting Diode (LED).

Lebuh aya SUKE mempunyai tiga plaza tol, iaitu Alam Damai, Bukit Teratai dan Ampang. - Foto Prolintas

Struktur bercabang di atas Sungai Ampang membenarkan cahaya matahari melalui bukaan di tengah-tengah antara dua struktur jalan raya untuk sampai ke hidupan akuatik. - Foto Prolintas

Di samping itu, Lebuhraya SUKE juga apabila ia siap dibina akan menjadi laluan alternatif untuk Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), iaitu mampu mengurangkan kesesakan trafik di sepanjang MRR2 sebanyak 30 peratus, Jalan Ampang (36 peratus) dan Jalan Loke Yew (12 peratus) ketika waktu puncak dengan jangkaan 25 minit penjimatan masa perjalanan berbanding ketika melalui jalan sedia ada.

Lebuhraya SUKE ialah projek di bawah inisiatif Perkongsian Awam-Swasta (PPP) dipacu Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Pada masa sama, apabila lebuh raya berkenaan siap kelak, kira-kira 10,000 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai bidang diwujudkan seperti dalam bahagian pengurusan, kejuruteraan, teknikal, pembantu barisan hadapan (kutipan tol) dan pekerja kontrak.

Sepanjang pembinaan SUKE, pelbagai amalan berbakti semula kepada masyarakat menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah dilakukan.

Antaranya, pembinaan semula kuarters dan balai polis trafik, IPD Ampang Jaya, penanaman semula 14,000 anak pokok hutan di kawasan seluas 11.33 hektar di Hutan Simpan Kekal Sungai Besi.

Selain itu, pembinaan semula pejabat dan kuarters pekerja Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah and rumah Penghulu Ampang, penambahbaikan Surau Dato Ahmad Razali termasuk penambahbaikan dan pelebaran Jalan Hulu Langat, Jalan Ampang (daripada dua ke tiga lorong) dan sebahagian jalan di MRR2.

Lebuhraya SUKE menyediakan penyelesaian penyuraian trafik di bahagian timur Kuala Lumpur. – Foto Prolintas

Pembinaan SUKE yang bermula pada Ogos 2016 membabitkan kos RM5.7 bilion dengan 100 peratus pembiayaan patuh syariah.

*Artikel ini adalah kandungan berbayar.