KUALA LUMPUR: Audit keselamatan menyeluruh dan berkala perlu dijalankan terhadap struktur dan papan iklan di sepanjang lebuh raya utama di seluruh negara bagi melindungi orang ramai, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata audit tersebut perlu meneliti keadaan fizikal, kestabilan asas, sambungan, tahap kakisan, integriti struktur serta keupayaan untuk menahan cuaca dan tekanan persekitaran yang lain.
“Struktur yang didapati tidak selamat, mengalami kerosakan teruk atau tidak lagi mematuhi keperluan keselamatan hendaklah dibaiki, diperkukuh atau dialihkan dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee membuat gesaan itu susulan struktur besar dilaporkan runtuh merentangi Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di KM8.4 berhampiran Shah Alam lewat malam tadi, menghalang semua lorong menghala ke utara dan menyebabkan kesesakan panjang.
Walaupun laporan awal menunjukkan tiada kehilangan nyawa, beliau berkata insiden itu tidak seharusnya dianggap sebagai gangguan trafik biasa kerana keselamatan pengguna jalan raya mesti diutamakan berbanding pertimbangan pengiklanan, komersial atau perkara lain.
Lee turut mencadangkan supaya pihak berkuasa dan pengendali lebuh raya menyelenggara inventori lengkap semua struktur dan papan iklan di lebuh raya, termasuk maklumat pemilik, tarikh pemasangan, pihak yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan serta tarikh pemeriksaan keselamatan terkini.
Beliau berkata tanggungjawab tidak seharusnya diletakkan semata-mata pada pengendali lebuh raya, sebaliknya turut dikongsi oleh pemilik, pengiklan, kontraktor dan pihak berkuasa yang meluluskan bagi memastikan struktur berkenaan tidak membahayakan pengguna jalan raya.
Lee berkata penguatkuasaan berkesan juga mesti diambil terhadap struktur yang tidak dibenarkan, tidak diselenggara dengan baik atau tidak mematuhi peraturan, sambil menambah bahawa kegagalan struktur boleh mengancam nyawa dan menjejaskan sistem pengangkutan dengan teruk.
“Keselamatan awam tidak boleh bergantung pada nasib. Budaya keselamatan yang baik menghendaki kita mengenal pasti dan menghapuskan risiko sebelum ia mengakibatkan tragedi,” katanya.
Lee berkata Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), pihak berkuasa tempatan, syarikat konsesi lebuh raya dan pemilik struktur digesa supaya menjalankan pemeriksaan segera, sambil menegaskan bahawa setiap pemasangan di sepanjang lebuh raya tidak boleh sama sekali menjadi ancaman kepada pengguna.
-- BERNAMA