MALAYSIA

Legasi ketiga pembuatan kuih cakar ayam terus pertahan warisan makanan tradisional

Bernama 08/11/2025 | 14:45 MYT
Hurmazan (kiri) dan isteri Darwina Mohamad Som menunjukkan proses pembuatan cakar ayam hari ini. - Gambar Bernama
MELAKA: Meneruskan legasi pembuatan kuih cakar ayam bukan perkara mudah lebih-lebih lagi untuk mengekalkan kualiti dan rasa, selain memastikan makanan tradisional itu tidak hilang ditelan zaman.


Ringkasan AI
  • Penerus legasi kuih cakar ayam di Kampung Perigi Hang Tuah, Hurmazan Ismail, mengekalkan resipi asal sejak 1970-an, menggunakan keledek dan air gula merah dengan proses penghasilan yang teliti dan sabar.
  • Hurmazan turut meneruskan tradisi menggunakan tin sardin sebagai acuan dan penyagat untuk menghasilkan kuih cakar ayam yang memerlukan 100 hingga 200 kilogram keledek setiap minggu.
  • Selain menjual kuih cakar ayam secara langsung kepada pelanggan, Hurmazan merancang menanam keledek sendiri dengan bantuan RM200,000 untuk memastikan bekalan keledek mencukupi dan harga stabil.


Pengusaha Kuih Cakar Ayam Perigi Hang Tuah, Hurmazan Ismail, 39, berkata walaupun pembuatan kuih itu hanya menggunakan dua bahan, iaitu keledek dan air gula merah, namun proses penghasilannya perlu dilakukan secara tertib dan sabar.

Berkongsi pengalaman mengenai teknik menggoreng keledek yang disagat bersama air gula merah itu, Hurmazan berkata ia perlu dilakukan dengan betul manakala proses memasukkan keledek yang telah garing ke dalam acuan tin sardin juga perlu pantas agar mudah dan tidak keras.

"Resipi asal kuih cakar ayam yang saya warisi hari ini adalah daripada arwah nenek sejak 1970-an sebelum ibu saya, Azizah Salleh, 62, mengambil alih perniagaan ini dan hari ini, legasi pembuatannya diteruskan oleh saya dan isteri, Darwina Mohamad Som.

"Tetapi kalau dulu arwah nenek guna ubi kayu tetapi bermula zaman emak, kami ganti dengan keledek kerana rasanya lebih lemak dan tidak keras berbanding ubi kayu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Perigi Hang Tuah di sini hari ini.

Sejak mengambil alih perniagaan itu daripada ibunya pada 2010, Hurmazan dan isteri masih mengekalkan cara tradisional, iaitu menggunakan tin sardin sebagai acuan dan penyagat untuk memotong keledek yang diperlukan antara 100 hingga 200 kilogram seminggu.

Sebagai nilai tambah, penggemar kudapan itu juga boleh menempahnya dalam bentuk huruf yang kini menjadi pilihan bagi majlis perkahwinan, pertunangan atau keraian lain.

Hurmazan berkata pembuatan kuih tradisional yang menjadi antara kudapan popular dalam kalangan orang lama itu, hanya diusahakannya pada setiap Sabtu dan Ahad serta cuti umum, di Kampung Perigi Hang Tuah bermula 11 pagi hingga 6 petang.

Usahawan bawah bimbingan Jabatan Pertanian itu berkata dia bukan hanya fokus pada pembuatan dan penjualan cakar ayam tetapi juga melakukan demonstrasi pembuatan kuih berkenaan kepada pengunjung dan pelancong yang datang ke kedainya.

Ia membuka peluang kepada pengunjung terutama rombongan pelancong dan pelajar sekolah mencuba cara pembuatan cakar ayam sekali gus memberi pengalaman baharu kepada mereka.

Demi menjaga kualiti cakar ayam yang dihasilkannya, dia hanya menjual secara terus kepada pelanggan yang berkunjung ke kedainya pada hujung minggu serta cuti umum kerana bimbang risiko kudapan itu pecah sekiranya dihantar secara pos kepada pelanggan.

Mengulas rancangan masa hadapan perniagaannya, dia merancang menanam keledek secara dalam pasu atau fertigasi bagi memastikan sumber bekalan resipi utama kuih itu tidak terjejas.

"Saya telah mohon bantuan peruntukan berjumlah RM200,000 daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di bawah aktiviti agropelancongan untuk menanam keledek secara lebih meluas bagi memastikan bekalan keledek tidak putus selain membeli mesin mencuci keledek serta mesin menyagat mengikut kualiti sedia ada.

"Ini antara usaha mengatasi masalah kekurangan bekalan keledek yang sering saya hadapi selain harga yang meningkat," katanya yang kini mengusahakan tanaman keledek secara kecil-kecilan dengan bantuan Kawasan Rukun Tetangga Kampung Perigi Hang Tuah di bawah peruntukan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

-- BERNAMA



#kuih cakar ayam #air gula merah #tin sardin #mesin menyagat