Skip to main content

Malaysia

Legasi pemikiran Syed Muhammad Naquib wajar dipelihara untuk masa hadapan - Menteri Agama

PENGEBUMIAN SYED NAQUIB AL ATTAS
Zulkifli berpendapat, institusi pengajian tinggi perlu mengambil peluang untuk meneruskan pengkajian, kupasan serta syarahan terhadap khazanah pemikiran yang ditinggalkan oleh Allahyarham Syed Muhammad Naquib. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

KUALA LUMPUR: Legasi pemikiran Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas wajar dipelihara dan dimanfaatkan sebagai sumber rujukan berharga untuk generasi akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berpendapat, institusi pengajian tinggi perlu mengambil peluang untuk meneruskan pengkajian, kupasan serta syarahan terhadap khazanah pemikiran yang ditinggalkan oleh Allahyarham.

Advertisement

“Jasa-jasa yang disumbangkan oleh Allahyarham sangat berharga, apa yang kita perlu lakukan sekarang adalah bagaimana untuk kita meneruskan legasi yang ditinggalkan itu,” katanya kepada pemberita di Masjid At-Taqwa, di sini, hari ini.

Tambahnya, pemikiran Allahyarham juga penting dan terkehadapan serta kekal relevan sepanjang zaman untuk membimbing segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

Beliau turut menyentuh mengenai karya agung yang ditinggalkan oleh Allahyarham iaitu Islam and Secularism (1978) yang mahsyur dan menjadi rujukan pemikir Islam di peringkat global.

“Golongan ulama juga mengiktiraf ketokohan, keilmuan, kepakaran dan kesarjanaan Allahyharm,” katanya lagi.

Zulkifli hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Damansara, petang semalam.

Jenazah Allahyarham tiba di pekarangan masjid sekitar jam 9.40 pagi untuk dimandikan sebelum disolatkan serta dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara tengah hari ini.

Allahyarham Syed Muhammad Naquib

 

yang dilahirkan pada tahun 1931 di Bogor, Jawa Barat, Indonesia, dikenali sebagai antara tokoh intelektual Islam paling berpengaruh dalam dunia Islam moden.

Allahyarham turut mengasaskan Institut Antarabangsa Pemkiran dan Tamadun Islam (ISTAC) yang menjadi antara pusat penting pengajian pemikiran Islam di peringkat antarabangsa.

Sepanjang kerjaya ilmiahnya, beliau menghasilkan lebih 30 buku dan monograf yang menjadi rujukan utama dalam kajian peradaban dan falsafah Islam.
 

Must Watch Video