Lelaki 20 tahun maut langgar babi hutan

Bernama
Januari 20, 2024 06:18 MYT
Mangsa melanggar seekor babi hutan yang menyeberang jalan sebelum tercampak. - Gambar/ Sinar Harian
TAMPIN: Seorang lelaki maut setelah motosikal ditunggangnya melanggar seekor babi hutan di kilometer 7.3 berhampiran Kampung Rokan dekat sini pada 7.30 pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tampin DSP Amiruddien Sariman berkata semasa kejadian itu, mangsa yang berusia 20 tahun dan menunggang motosikal Yamaha Y15 dalam perjalanan ke tempat kerja di IOI Gemencheh.
"Mangsa yang bekerja sebagai operator dron itu telah melanggar seekor babi hutan yang menyeberang jalan, lalu lelaki itu tercampak ke atas jalan. Akibat kemalangan terbabit, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mayat mangsa dibawa ke bahagian Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
#kemalangan maut #penunggang motosikal #langgar babi #Tampin