MALAYSIA
Lelaki 83 tahun teruja, syukur terima kad pengenalan

Exco Pulau Pinang Lim Siew Khim (kanan) beramah mesra dengan penerima kad pengenalan Kewarganegaraan Malaysia pada Program Kewarganegaraan Pulau Pinang hari ini. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah seorang warga emas apabila akhirnya memperoleh kad pengenalan Malaysia selepas hampir tujuh dekad menetap di negara ini.
Ringkasan AI
- Chan Weng Poh, 83, yang berhijrah dari China ke Pulau Pinang pada 1957, akhirnya memperoleh kad pengenalan biru selepas hampir tujuh dekad menetap di Malaysia.
- Seramai 14 individu menerima kad pengenalan melalui program ini; sejak 2013, 5,595 kes diterima dan 579 berjaya mendapat kewarganegaraan.
- Program ini membantu mereka yang tidak memiliki dokumen akibat faktor seperti perkahwinan tidak berdaftar, ketiadaan sijil lahir, dan status ibu bapa yang rumit.
"Hari ini saya bersyukur kerana akhirnya saya menjadi rakyat Malaysia, saya datang ke sini kerana di sana (China) sangat susah ketika itu dan sebaik tiba saya belajar budaya, makanan serta bahasa Melayu supaya mudah bergaul dengan orang ramai.
"Kalau tanyakan saya negara mana lebih sayang sama ada China atau Malaysia, sudah pasti saya jawab Malaysia, pada awalnya saya kerja macam-macam sebelum menjadi penjual kain tetapi sudah tidak berniaga sejak 20 tahun lepas," katanya.
Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya kerajaan negeri kerana membantunya mendapatkan kewarganegaraan.
Chan ditemui selepas sidang media Program Kewarganegaraan Pulau Pinang oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang Lim Siew Khim dan hari ini seramai 14 orang menerima kad pengenalan biru.
Isterinya, Ooi Lay Yong, 64, berkata beliau berkahwin dengan suaminya ketika berusia 34 tahun dan mempunyai dua anak lelaki masing-masing berusia 26 dan 33 tahun serta mereka pernah balik ke China dua kali untuk bertemu keluarga di sana.
"Pak cik memang cinta dan sayangkan Malaysia, dia hari ini bangun awal kerana teruja nak dapat kad pengenalan yang ditunggu berpuluh-puluh tahun lamanya, jiwanya hanya untuk Malaysia dan setiap tahun gembira dapat sambut Hari Merdeka bersama orang ramai," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penerima kad pengenalan Teoh Zheng Yang, 13, yang juga orang kurang upaya (penghidap sindrom Down) hadir bersama bapanya Teoh Kwat Ching, 60, untuk menerima kad pengenalan pada majlis tersebut.
Teoh berkata anak tunggal hasil perkahwinan dengan seorang wanita Indonesia itu tidak pernah memiliki sebarang dokumen pengenalan diri kerana perkahwinan mereka tidak didaftarkan, malah isterinya kembali ke negara asal sejurus selepas melahirkan anak mereka akibat perselisihan faham.
"Saya mula mohon untuk dapatkan surat beranak dan kad pengenalan sejak dia enam tahun iaitu selepas dia tidak dapat mendaftar ke sekolah," katanya sambil menambah anaknya kini mengikuti Program Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelutong.
Sementara itu, Lim berkata sejak diperkenalkan pada 2013, Program Kewarganegaraan Pulau Pinang telah menerima 5,595 kes dan 3,504 daripadanya melibatkan permohonan kewarganegaraan Malaysia dengan 579 kes berjaya memperoleh kewarganegaraan.
Beliau berkata individu yang lahir di Malaysia tidak mendapat kewarganegaraan akibat pelbagai faktor antaranya ketiadaan sijil kelahiran, status ibu bapa yang rumit dan perkahwinan yang tidak berdaftar tetapi dengan bantuan program itu, sebahagian besar daripada mereka berjaya mendapat taraf warganegara.
"Kes-kes yang berjaya merangkumi permohonan di bawah Perkara 14 iaitu pendaftaran kelahiran luar negara melebihi setahun, pendaftaran lewat sijil kelahiran, pendaftaran lewat kad pengenalan, permit masuk, pengangkatan kanak-kanak bukan warganegara, pengesahan taraf warganegara, permohonan naturalisasi baharu (OBT), pembetulan atau pindaan maklumat sijil kelahiran serta Perkara 13 (anak luar nikah)," katanya.
Lim berkata Program Kewarganegaraan Pulau Pinang adalah percuma dengan pegawai dan penyelia akan membantu menyediakan dokumen, memberikan konsultasi serta menguruskan koordinasi dengan jabatan berkaitan.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami