ALOR SETAR: Polis berjaya menahan seorang lelaki selepas lapan jam melakukan samun bersenjatakan pisau terhadap seorang pekerja wanita di sebuah stesen minyak di bandar raya Alor Setar pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan dalam satu serbuan oleh pasukan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sebuah rumah di Jalan Langgar jam 3.30 petang tadi.

“Kedatangan suspek pada jam 6.53 pagi terus meluru masuk ke dalam stesen minyak itu sebelum mengeluarkan sebilah pisau lalu mengarahkan seorang pekerja wanita untuk menyerahkan wang dan sekiranya enggan dia akan melarikan telefon bimbit milik wanita itu.

“Mangsa yang takut diapa-apakan bertindak menyerahkan wang RM1,000 yang berada di dalam mesin wang lalu suspek beredar dengan menaiki sebuah motosikal,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Menurut Ahmad Shukri lagi, sebaik menerima laporan daripada wanita terbabit dan berjaya mengesan wajah serta nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek melalui Kamera Litar Tertutup (CCTV), gerakan memburu suspek dilancar.

Katanya, ketika menahan suspek polis merampas sebilah pisau, sebuah motosikal dan pakaian yang digunakan suspek ketika melakukan samun.

Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk siasatan lanjut.

Jelas Ahmad Shukri, hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methaphathamine dan semakan mendapati, suspek mempunyai tiga rekod berkaitan jenayah dan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.