Lelaki amuk, pecahkan mesin bank ditahan

Sinar Harian
Disember 4, 2021 00:45 MYT
Keadaan mesin ATM yang dirosakkan suspek dalam kejadian di RnR Genting Sempah di sini pada Jumaat. -Foto Sinar Harian
BENTONG: Seorang lelaki ditahan kerana mengamuk dan merosakkan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Genting Sempah di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, suspek berusia 30 tahun bertindak merosakkan harta benda awam berkenaan menggunakan sebilah parang.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota ke lokasi kejadian sebelum melakukan tangkapan ke atas suspek.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu memiliki rekod jenayah lampau berkait penyalahgunaan dadah.
"Suspek ditahan reman selama empat hari bermula Jumaat untuk siasatan lanjut.
"Suspek juga akan dirujuk ke hospital untuk rawatan psikiatri kerana hasil semakan mendapati lelaki itu pernah mendapat rawatan berkaitan penyakit itu di sebuah hospital di Kuala Lumpur," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.
Zaiham berkata, tindakan pantas orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kejadian amat dihargai dan telah membantu pihak polis.
*Berita asal di Sinar Harian
#ATM #RnR Genting Sempah #Zaiham Mohd Kahar #mesin juruwang automatik