JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tempatan dengan alasan ingin memancing di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Masai antara 25 individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Johor dalam dua operasi dekat sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata lelaki berusia 40-an tanpa membawa sebarang kelengkapan memancing itu ditahan di ladang terbabit bersama 16 individu lain menerusi Op Bersepadu manakala lapan lagi ditahan dalam pemeriksaan dari rumah ke rumah dalam Op Cegah.

Beliau berkata kesemua individu itu ditahan setakat 7 malam ini, dalam kedua-dua operasi yang dijalankan serentak bermula sekitar 10 pagi tadi.

"Sebanyak 17 individu ditahan dalam Op Bersepadu, terdiri daripada 15 lelaki tempatan, seorang lelaki Indonesia dan seorang wanita tempatan manakala Op Cegah pula melibatkan lapan lelaki tempatan dengan kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 60 tahun.

"Mereka dibawa ke pejabat AADK Johor untuk pemeriksaan urin dan jika positif, tindakan lanjut akan diambil termasuk mendapatkan permohonan reman di mahkamah," katanya pada sidang media selepas menyertai Op Bersepadu di ladang kelapa sawit itu di sini hari ini.

Turut menyertai operasi itu Pengarah AADK negeri Azli Ubin.

Ling berkata kerajaan negeri memandang serius isu penyalahgunaan dadah dan tidak akan berkompromi menerusi penguatkuasaan yang dijalankan oleh AADK negeri.

Sementara itu, beliau berkata AADK negeri terus giat melaksanakan penguatkuasaan dan program-program bagi menangani kes penyalahgunaan dadah, justeru, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.13 juta bagi menyokong usaha agensi itu.

Beliau berkata sejak awal tahun ini sehingga 6 Mac lepas, sebanyak 377 individu berusia 18 hingga 45 tahun telah ditahan di Johor dipercayai terlibat dengan kes penyalahgunaan dadah manakala tahun lepas melibatkan 1,424 individu ditahan dalam lingkungan umur sama.

-- BERNAMA