MALAYSIA

Lelaki Bangladesh dipenjara dua tahun lindungi empat migran senegara

Astro Awani 24/01/2026 | 08:14 MYT
Datuk Zakaria Shaaban berkata, sabitan itu dibuat mengikut Seksyen 26H, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670). - Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warganegara Bangladesh dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah menyembunyikan dan melindungi empat migran senegara di sebuah premis transit.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, sabitan itu dibuat mengikut Seksyen 26H, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

"Kejayaan ini adalah hasil Operasi Khas oleh Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia pada 4 November 2025 di Rumah Pangsa Rampai Idaman, Prima Damansara, Petaling Jaya di mana tertuduh bersama empat migran telah ditemui di dalam sebuah unit kediaman di alamat tersebut," katanya.

Dalam pada itu, hukuman itu dijatuhkan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Jan 2026 selepas mahkamah mendapati tertuduh bertindak sebagai penjaga sebuah rumah penampungan migran itu berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan.

Menurut JIM, sabitan itu adalah hasil Operasi Khas yang dijalankan Ibu Pejabat JIM pada 4 Nov 2025 di Rumah Pangsa Rampai Idaman, Prima Damansara, Petaling Jaya, yang membawa kepada penahanan tertuduh bersama empat migran Bangladesh di dalam sebuah unit kediaman.

JIM menegaskan komitmen berterusan untuk membanteras penyeludupan migran dan pemerdagangan orang, selain memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang melindungi, menggaji atau bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk warga asing yang memasuki atau tinggal di negara ini tanpa kebenaran sah.

Jabatan itu turut menggesa masyarakat agar tidak melindungi atau membantu mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen serta mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.



#Jabatan Imigresen Malaysia #Mahkamah Tinggi #pati #Mahkamah Tinggi Shah Alam #Rabbi Hosen