KUCHING: “Kalau boleh kita tanam semangat patriotisme pada generasi-generasi baru, biar mereka contohi semangat saya, mesti mengangkat nama negeri Sarawak dan negara kita,”

Itu pesanan Azahari Hamdan, atau lebih dikenali sebagai Joe Seafood yang sempat dirakamkan Astro Awani sempena Hari Sarawak dua tahun lalu.

Watak patriotik Bandaraya Kuching itu telah menghembuskan nafasnya terakhir pada usia 65 tahun di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 2.30 petang, pada Selasa.

Dalam satu perkongsian di Facebook anak saudaranya memaklumkan berita pemergian bapa saudaranya itu, dan jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kuching.

Allahyarham yang juga digelar ‘Lelaki Bendera’ itu mencuri perhatian penduduk sekitar apabila  menunggang motosikal Modenas Jaguh yang berhiaskan bendera Sarawak dan Jalur Gemilang mengelilingi ibu kota serta kampung-kampung.

Kali terakhir kelibat Allahyarham dilihat bersama motosikal berhias kesayangannya itu adalah ketika Sambutan Perayaan Hari Sarawak 22 Julai yang lalu.

Menurut Allahyarham, tradisi yang dimulakan sejak 21 tahun lalu itu adalah cerminan semangat patriotisme yang mahu disematkan dalam kalangan penduduk Bumi Kenyalang dan belia untuk sentiasa menghargai jasa pejuang negara.

Dalam temubualnya bersama Astro AWANI sebelum ini, Allahyarham ada memberitahu setiap gubahan motosikalnya menelan belanja sekitar RM200 hingga RM300 menggunakan sepenuhnya wang sakunya sendiri malah akan sentiasa bertukar-ganti.

Tanpa pewaris yang bersemangat sepertinya, penduduk Bandaraya Kuching pasti akan sentiasa merindui keceriaannya setiap kali Sambutan Hari Sarawak (22 Julai), Hari Kebangsaan (31 Ogos) mahupun Hari Malaysia  (16 September).