SHAH ALAM: Perbuatan seorang lelaki yang berang ditegur seorang remaja lelaki ekoran didakwa merokok di sebuah kedai makan tular di media sosial sejak Ahad.

Seorang pengguna Twitter, bckupacc99 yang berkongsi video berdurasi 47 saat itu berkata, lelaki berbaju kemeja T berkolar tersebut 'naik angin' apabila ditegur perbuatannya itu.

Ujarnya, lelaki yang sudah berumur berkenaan mendatanginya di meja makan sebelum dia dimarahi selain turut mempersoalkan tindakan menegurnya.

"Awak ni pegawai apa? Pekerja kat kedai ni pun tak berani nak tegur sayalah,” kata lelaki tersebut sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-duanya.

Pertengkaran itu kemudiannya dileraikan seorang lagi individu di lokasi kejadian bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku.

Kata remaja terbabit, dia membuat teguran itu kerana tidak mahu membahayakan kesihatan orang sekeliling kerana kemungkinan adanya bayi di dalam restoran berkenaan.

Video berkenaan tular di aplikasi Twitter sehingga mendapat lebih 814,000 tontonan 8,435 ulang ciap dan 11,300 tanda suka.

Malah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu ciapan ditwitternya berkata, pihaknya mengambil maklum akan kejadian itu dan berterima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan remaja tersebut. -Sinar Harian