MALAYSIA

Lelaki berkelakuan tidak senonoh ketika seminar SPM ditahan

Umavathi Ramayah 09/02/2026 | 13:45 MYT
Suspek direman selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. - Gambar tular
KUALA LUMPUR : Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh dengan melondehkan seluar ketika menghadiri seminar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah universiti swasta di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan di sekitar Sri Petaling, Cheras pada Isnin.

Menurutnya, suspek direman selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

“Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Terdahulu, beberapa klip video tular di aplikasi Threads memaparkan seorang lelaki dihalau keluar dari sebuah dewan selepas didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh ketika program berkenaan berlangsung.



#Sijil Pelajaran Malaysia #tidak senonoh #viral #video tular