Polis menahan seorang lelaki bersenjatakan gunting yang mengamuk secara tiba-tiba dan bertindak di luar kawalan dalam kejadian di sebuah flat di Bukit Gedung, Bayan Baru pada Sabtu.

Penggangur berusia 30 tahun itu ditahan di tepi hentian bas, Jalan Persiaran Mayang kira-kira jam 5 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan A.A Anbalagan berkata, lelaki berkenaan didapati berada dalam keadaan mencurigakan dan meracau di kawasan perumahan tersebut sebelum dia didekati seorang lelaki.

Namun suspek yang bersenjatakan gunting bertindak mengacukan senjata berkenaan ke arah lelaki yang cuba menenangkan keadaannya.

Suspek kemudian bertindak melarikan diri ke hentian bas Persiaran Mayang Pasir, Bukit Gedung.

Bagaimanapun suspek kemudiannya berjaya ditahan oleh sekumpulan orang awam yang bimbang kerana tindakan suspek membahayakan keselamatan orang ramai.

Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod sakit mental dan ujian air kencing suspek didapati negatif dadah.

Suspek mengalami kecederaan di bahagian dagu, serta luka dan bengkak pada bahagian tangan dan kaki.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Dalam pada itu, Anbalagan menafikan berita yang tular di media sosial mengenai suspek yang dikatakan telah mencederakan orang awam.

Menurutnya, suspek tidak menikam orang awam sebagaimana yang diviralkan.