MALAYSIA

Lelaki bunuh ibu tunggal tolak lamaran: Mahkamah Rayuan jatuhkan hukuman mati

Bernama 04/11/2025 | 10:51 MYT
Mahkamah membatalkan hukuman terdahulu dan menegaskan bahawa perbuatan Mohd Nur Hussein adalah kejam serta terancang. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Seorang bekas peniaga ayam dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Rayuan hari ini kerana membunuh seorang ibu tunggal yang menolak lamarannya.


Ringkasan AI
  • Bekas peniaga ayam dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Rayuan kerana membunuh ibu tunggal yang menolak lamarannya.
  • Mahkamah membatalkan hukuman terdahulu dan menegaskan bahawa perbuatan Mohd Nur Hussein adalah kejam serta terancang.
  • Fakta kes mendapati mangsa dikenali oleh tertuduh sebelumnya dan ditolak lamaran kerana perbezaan umur, menjadikan motif cemburu sebagai faktor utama dalam jenayah itu.


Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azmi Ariffin, Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk mengenakan hukuman mati ke atas Mohd Nur Hussein Mohd Salleh.

Sehubungan itu, mahkamah membatalkan hukuman terdahulu Mahkamah Tinggi iaitu 38 tahun penjara dan 20 sebatan.

Noorin berkata mahkamah mendapati Mohd Nur Hussein telah merancang dengan teliti pembunuhan wanita itu semata-mata kerana dia bertepuk sebelah tangan atau cintanya tidak berbalas.

Menurutnya Mohd Nur Hussein telah melakukan perbuatan kejam, menyatakan bahawa kecederaan mangsa adalah konsisten dengan kecederaan akibat penyembelihan dan terdapat bukti menunjukkan dia juga cuba membakar bilik mayat wanita itu ditemui.

Hakim berkata Mohd Nur Hussein juga telah merancang untuk mengelak daripada disyaki dengan pergi ke kafe siber untuk log masuk dan keluar semasa jenayah itu namun beberapa saksi memberikan keterangan bahawa mereka melihatnya berhampiran rumah mangsa semasa kejadian.

"Perayu telah memasuki rumah mangsa pada awal pagi dan menikamnya sebanyak lapan kali sehingga menyebabkan urat pada lehernya putus.

"Ini menunjukkan secara terang-terangan tidak menghiraukan nyawa manusia. Kami bersetuju bahawa tidak ada penyesalan di pihak perayu kerana melakukan jenayah sedemikian. Selain itu, dia mengambil barang berharga milik mangsa dan anak mangsa serta menyembunyikannya," katanya.

Mahkamah juga menolak rayuan Mohd Nur Hussein terhadap sabitan kesalahannya, memutuskan bahawa berdasarkan keterangan mengikut keadaan oleh pihak pendakwaan, sudah memadai untuk menunjukkan bahawa dia melakukan pembunuhan itu.

Mohd Nur Hussein, 42, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Sept, 2023, kerana membunuh Hamidah Abdul Rahman, 53, seorang pembantu kedai, di sebuah rumah di Taman Datuk Liew Yan Sip, Ipoh, Perak, antara 3 pagi dan 5 pagi pada 13 Mac 2017.

Menurut fakta kes, mangsa mengenali Mohd Nur Hussein beberapa tahun sebelum kejadian. Mereka berkawan dan sering keluar bersama.

Tertuduh pernah melamar mangsa tetapi ditolak kerana mangsa berusia 20 tahun lebih tua daripadanya. Dua bulan sebelum kejadian, wanita itu telah bertunang dengan seorang pesara polis.

Dalam hujahnya, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman mati kerana sifat mengerikan jenayah itu dan motif cemburu yang digambarkan sebagai "aku tak dapat, orang lain tak dapat".

Peguam mewakili Mohd Nur Hussein, Mohamad Hafiz Jalaludin, berhujah bahawa tiada bukti daripada saksi pendakwaan, yang merupakan jiran si mati, untuk membuktikan tertuduh telah memasuki rumah mangsa atau bertemu wanita itu.

-- BERNAMA

#kes bunuh #bunuh ibu tunggal #hukuman mati #tolak lamaran