GOMBAK: Seorang lelaki cedera parah selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kolam Ikan, Batu Arang menghala Kota Puteri di sini, pada Khamis.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 7.09 pagi.

"Seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hafisham berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori dinaiki dua lelaki berusia 40-an bertembung dengan sebuah kereta jenis Nissan Almera dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun.

"Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

"Akibat kemalangan itu, mangsa patah kaki kanan telah diberi rawatan awal oleh pihak bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh," katanya. - Sinar Harian