AYER KEROH: Seorang pekerja syarikat pembekal dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, selepas bersalah mencederakan dua wanita termasuk bekas kekasihnya, hujung bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Syazwan Mohd Nasir, 26, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas kekasihnya yang berusia 23 tahun dengan menggunakan senjata pisau.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didapati sengaja mendatangkan cedera terhadap rakan wanita bekas kekasihnya yang berusia 25 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda, atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam mengakui menyesal dengan perbuatan yang dilakukan serta merayu hukumannya diringankan dengan alasan ingin berubah menjadi insan yang lebih baik.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kecederaan yang dialami kedua-dua mangsa adalah serius.

Hakim Nariman pada penghukumannya kemudian menetapkan hukuman penjara empat tahun dari tarikh ditangkap pada 30 Julai lalu serta satu sebatan bagi Seksyen 326 Kanun kKseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah kepada bekas kekasihnya.

Manakala mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun enam bulan bagi satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua hukuman bagaimanapun diperintah berjalan serentak daripada tarikh ditangkap.