KUALA TERENGGANU: Siasatan polis terhadap seorang lelaki yang cuba terjun dari Jambatan Sultan Mahmud di sini, pada Isnin mendapati individu berkenaan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, lelaki berusia 29 tahun itu dipercayai mengalami tekanan perasaan disebabkan masalah peribadi.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

"Kertas siasatan telah dibuka dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh diri dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Abdul Rahim berkata, semasa hari kejadian, pihak polis telah menerima panggilan melalui Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu sekitar jam 5.45 petang.

"Sejurus pihak polis tiba di lokasi kejadian, orang awam telah berjaya memujuk dan menghalang lelaki itu daripada terjun serta telah menyerahkan kepada pihak polis.

"Lelaki itu juga telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Menurut Abdul Rahim, sebuah video berdurasi 15 saat tular di media sosial sejak malam Isnin memaparkan seorang lelaki berdiri di luar penghadang Jambatan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

Katanya, tindakan lelaki tersebut disedari orang awam yang melalui kawasan itu dan segera menghubungi pihak polis. - Sinar Harian



*Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma.