PUTRAJAYA: Seorang penganggur dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa atas perbuatan kejamnya yang menganiayai seorang kanak-kanak dua tahun dengan menumbuk, memijak badan dan kepala serta memasukkan gunting ke dalam mulut mangsa yang sudah tidak bernyawa dan menyorokkan mayatnya dalam sebuah tong ikan dipenuhi ais di Sungai Petani, Kedah pada 2016 lalu.

Tertuduh, Mohd Affandi Fauzi Ramlee, 39, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibaca terhadapnya di hadapan tiga panel hakim, diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hashim Hamzah.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Kamaludin berkata, berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak terlalu kejam kerana menganiaya kanak-kanak kecil itu.

“Tidak dapat dibayangkan, penderitaan dan seksa yang dialami mangsa.

“Walaupun, tertuduh telah mengaku bersalah, tetapi mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan awam, maka hukuman dikenakan bermula hari ini,” katanya.

Semasa prosiding, peguam Kee Wei Lon yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman minimum tanpa denda kerana dia telah menjalani hukuman penjara 60 bulan atas kesalahan mendera kakak mangsa yang ketika itu berusia empat tahun.

“Mohd Affandi dibebaskan pada 15 April 2020 dan masih belum mendapat sebarang pekerjaan.

“Pihak kami juga memohon agar mahkamah mengambil kira tempoh tahanan reman selama dua tahun tiga bulan ketika Mohd Affandi disiasat bagi kes 302 Kanun Keseksaan bermula 24 November 2016 lalu,” katanya.

Selain itu, Wei Lon berkata, tertuduh tidak pernah diberi peluang untuk mengaku bersalah kerana tidak ditawarkan atas pertuduhan pilihan, maka pengakuan salah perlu diberikan pertimbangan sepertimana pengakuan kali pertama.

Menurutnya, tindakan tertuduh hadir sendiri ke mahkamah walaupun telah dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah menunjukkan dia benar-benar insaf dan mengambil tanggungjawab atas kesalahan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Samihah Rhazali mencadangkan, tertuduh dikenakan hukuman maksimum tanpa mengambil kira hukuman terdahulu kerana ia adalah melibatkan mangsa yang berbeza.

Beliau berkata, mahkamah perlu memandang keseriusan kesalahan daripada siri-siri penganiayaan terhadap kanak-kanak malang itu.

“Banyak perbuatan menendang, pukul dan pijak dilakukan sehingga akhirnya mangsa ditemui mati, malah tertuduh mempunyai rekod lampau kerana mendera kakak mangsa.

“Hukuman kelak perlulah mencerminkan kepentingan awam dan keseriusan kesalahan tersebut,” katanya.

Pada 6 Disember 2016, Mohd Affandi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, atas dakwaan melakukan pembunuhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Qhairullah Abd Hadi, 2, di sebuah rumah di Flat Paya Nahu antara jam 8 pagi 27 Oktober hingga jam 2 pagi, 24 November tahun sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Namun pada 26 Februari 2019, Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah membebaskan tertuduh daripada pertuduhan tersebut.

Susulan itu, pasukan pendakwaan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dengan meminda pertuduhan kepada menganiayai kanak-kanak berkenaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 31(5)(b) akta sama.

Pindaan pertuduhan dibuat selepas Pejabat Peguam Negara (AGC) menerima representasi yang dihantar oleh Mohd Affandi selaku responden.

Mengikut pertuduhan pindahan, Mohd Affandi didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan kepada Muhammad Qhairullah, telah menganiayai kanak-kanak itu di lokasi dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 31(5)(b) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa mengenali tertuduh pada September 2016 sebelum membuat keputusan untuk menumpang di rumah tertuduh.

Pada 24 Oktober 2016, wanita berkenaan menyatakan tertuduh mencederakan Muhammad Qhairullah dengan menumbuk, mencubit, menjentik dan memijak kepala serta badan sehingga menyebabkan tulang rusuk mangsa patah.

Susulan penderaan itu, mangsa didapati tidak bernyawa pada jam 1 pagi, 27 Oktober 2016.

Pada jam 5 petang hari sama, ibunya mendapati kanak-kanak malang itu sudah keras dan sejuk sehinggalah keluar lendir dari hidung mangsa.

Menurut ibu mangsa, lelaki berkenaan melarangnya membawa mangsa ke hospital kerana mahu mengelak daripada siasatan pihak polis.

Bagi mengelakkan mayat itu berbau, tertuduh menutup mayat dengan menggunakan toto dan menyorok mayat itu di dalam sebuah kotak polisterin yang dipenuhi ais.

Bagaimanapun, perubatan itu terbongkar sebulan kemudian iaitu pada 24 November 2016, selepas ibu mangsa meminta pertolongan daripada rakan serumah sebelum memaklumkan kepada polis.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.