KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang, di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian abang kandungnya, Disember tahun lepas.
Tertuduh M. Kubendran, 31, didakwa menyebabkan kematian M. Kagendran, 36, dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh yang mungkin membawa maut di Jalan 40c, Selayang Baru, Batu Caves, Selangor pada 3.40 pagi, 2 Dis 2025.
Advertisement
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin. Bagaimanapun, peguam K. Kisho yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan atas alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga dan isterinya.
Hakim Norazlin Othman membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin, selain menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA