[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
MALAYSIA

Lelaki didenda RM6,000 beri maklumat palsu untuk permohonan MyKad

Bernama 18/07/2025 | 08:14 MYT
Abdah Said didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah membuat permohonan MyKad menggunakan sijil kelahiran milik orang lain. - Foto Bernama
KUANTAN: Seorang lelaki didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu semasa membuat permohonan kad pengenalan atau MyKad untuk seorang kanak-kanak kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 2012.


Ringkasan AI
  • Abdah Said, 65, didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu semasa memohon MyKad untuk seorang kanak-kanak menggunakan sijil kelahiran individu lain pada tahun 2012.
  • Majistret turut memerintahkan hukuman penjara 10 bulan jika denda gagal dibayar; kesalahan didakwa di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000.
  • Pendakwa memohon hukuman berat kerana kesalahan melibatkan dokumen rasmi negara, dan sebagai pengajaran agar rakyat tidak menyerahkan dokumen warganegara kepada orang asing untuk menuntut keistimewaan.


Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman turut memerintahkan Abdah Said, 65, dipenjara selama 10 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Abdah didakwa memberikan maklumat palsu dalam butir material semasa membuat permohonan kad pengenalan 12 tahun untuk seorang kanak-kanak dengan menggunakan sijil kelahiran atas nama individu lain di kaunter JPN Pahang di sini kira-kira 9.49 pagi, 28 Sept 2012.

Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Mohammad Yusaini Yunan dan Penolong Pegawai Pendakwa Burhanuddin Hamzah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, warga emas itu memohon hukuman ringan kerana sudah berusia dan tidak bekerja dan tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Namun, Mohammad Yusaini memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dengan memberi dokumen anak sendiri untuk kepentingan diri.

Selain itu, beliau berkata ini juga bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya menyerahkan dokumen milik rakyat negara ini kepada orang asing untuk menuntut keistimewaan yang diperoleh warganegara Malaysia.

-- BERNAMA



#maklumat palsu #mykad #Jabatan Pendaftaran Negara #Kanak-kanak