Lelaki dikhuatiri lemas ketika menjala di lombong

Astro Awani
Jun 30, 2023 07:04 MYT
Anggota bomba memantau lokasi di mana mangsa lelaki dilaporkan hilang ketika menjala ikan di kawasan lombong dekat Jalan Pintasan Bidor-Teluk Intan hari ini. -Astro AWANI
BIDOR: Seorang lelaki berusia sekitar 40-an dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti menjala ikan di kawasan lombong dekat Jalan Pintasan Bidor-Teluk Intan, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.32 tengah hari tadi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dikerah ke lokasi.
"Setibanya jentera di tempat kejadian mendapati ada maklumat dari saksi yang berada di lokasi memaklumkan seorang lelaki melakukan aktiviti menjala ikan di kawasan lombong.
"Menurut saksi, mangsa telah turun ke dalam lombong untuk menjala dan kemudian didapati mangsa hilang dari pandangan dan dipercayai lemas," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Operasi mengesan dan mencari yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Muhamad Zaini Jamaludin itu masih berjalan sehingga kini.
#Balai Bomba dan Penyelamat #lemas #lombong #Jalan Pintasan Bidor-Teluk Intan