NATIONAL
Lelaki direman tiga hari bantu siasatan kes penemuan peluru
Siasatan awal mendapati pekerja penyelenggaraan yang ditahan semalam cuba melupuskan semua peluru berkenaan dengan membuangnya ke tempat pembuangan sampah. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Seorang lelaki direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan penemuan beg mengandungi lebih 700 peluru di tempat pembuangan sampah sebuah pangsapuri di Bukit Jambul dekat sini.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki direman tiga hari untuk membantu siasatan penemuan lebih 700 peluru di tempat pembuangan sampah di Bukit Jambul.
- Peluru tersebut milik pemegang lesen sah yang telah meninggal dunia, dan digunakan untuk sukan menembak serta memburu berlesen.
- Suspek mengambil peluru tanpa pengetahuan isteri pemilik asal dan cuba melupuskannya, kini disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata siasatan awal mendapati pekerja penyelenggaraan berusia 46 tahun itu yang ditahan semalam cuba melupuskan semua peluru berkenaan dengan membuangnya ke tempat pembuangan sampah.
"Pemilik asal peluru itu telah meninggal dunia dan merupakan pemegang lesen sah senjata api. Siasatan juga mendapati peluru berkenaan bukan digunakan lelaki itu untuk jenayah, sebaliknya kegunaan sukan menembak serta memburu berlesen," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Lee berkata pihaknya dimaklumkan yang senjata api jenis raifal milik pemilik asal telah dilupuskan oleh suspek yang dilantik menjalankan kerja-kerja pembersihan serta penyelenggaraan di rumah lelaki itu.
Beliau berkata suspek kemudiannya mengambil senjata api dan peluru-peluru berkenaan tanpa pengetahuan isteri kepada pemilik senjata api itu dengan polis masih menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad mengesahkan penemuan lebih 700 peluru hidup dan 13 peluru kosong jenis kaliber 22 dalam beg di tempat pembuangan sampah pangsapuri berkenaan pada 4 Mac.
-- BERNAMA