Lelaki disyaki bakar kereta bapa mentua direman empat hari

Bernama
Mei 30, 2020 16:31 MYT
Polis berkata perintah reman terhadap suspek berumur 41 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Batu Gajah pagi tadi.
Seorang lelaki yang dipercayai membakar kereta Perodua Myvi milik bapa mentuanya di tepi Jalan Senggang, di sini, Rabu lepas, direman selama empat hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso berkata perintah reman terhadap suspek berumur 41 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Batu Gajah pagi tadi.
"Setakat ini, lelaki terbabit tidak mengaku melakukan perbuatan tersebut. Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut seksyen 435 kanun keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.
Dalam kejadian malam Rabu lepas, suspek telah bertengkar dengan isterinya yang berusia 34 tahun di rumah bapa mentuanya di Tanjung Belanja, Parit dan bapa mentuanya cuba meleraikan pergaduhan itu sebelum suspek keluar dan tidak pulang.
Keesokan paginya, mangsa menyedari Perodua Myvi miliknya yang diletak di halaman rumah sudah tiada sebelum kereta itu ditemui hangus terbakar di tepi Jalan Senggang Parit, pada 1.30 tengah hari.
Beliau berkata suspek kemudiannya berjaya ditahan selepas melarikan diri ke Kuantan, Pahang, pukul 8.15 malam, pada Khamis lepas.
-- BERNAMA
#bakar kereta mentua #Jalan Senggang #Mahkamah Majistret Batu Gajah #Perodua Myvi #Polis Daerah Perak Tengah