Polis menahan seorang lelaki kerana mengganggu anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas keretanya disaman di Brickfields, ibu negara.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi, kejadian melibatkan seorang anggota penguatkuasa DBKL lelaki yang sedang menjalankan tugas di Jalan Rakyat, Sabtu lepas.

"Secara tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali telah menjerit dan membaling satu gelas tidak berisi air ke arah pengadu namun dapat dielak pengadu.

"Hasil keterangan pengadu mendapati lelaki tersebut bertindak sedemikian kerana marah kepada pihak penguatkuasa DBKL yang telah menyaman keretanya yang parkir di tepi jalan.

"Lelaki tersebut mendekati pengadu dan memarahinya sebelum beredar mengalihkan kereta dan mengugut 'jaga-jaga' kepada pengadu," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zairulnizam berkata salah seorang anggota DBKL telah menghubungi polis sebelum lelaki berkenaan berjaya diberkas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk tindakan lanjut.

Hasil semakan dan siasatan awal polis mendapati lelaki berkenaan mempunyai masalah mental dan terdapat rekod di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Hospital Kuala Lumpur

"Lelaki yang berumur 37 tahun itu telah diserahkan kepada pihak keluarga dan Kertas Enkuari Polis telah dibuka bagi siasatan lanjut dan menunggu pengesahan tahap kesihatan suspek daripada pihak hospital.

Polis menyeru kepada orang ramai agar memberikan kerjasama kepada pihak penguatkuasa untuk menjalankan tugas demi kesejahteraan penduduk setempat, ujar Zairulnizam.

Sebarang maklumat berkenaan jenayah di kawasan masing-masing boleh menghubungi IPD Brickfields di talian +60 3 2297 9222.