PASIR MAS: Polis menahan seorang lelaki dan merampas daun ketum seberat 460 kilogram (kg) di tepi Jalan Kampung Gaung di sini awal pagi Ahad.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan pada jam 3.10 pagi selepas anggota unit kereta peronda polis (MPV) menahan kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, rampasan daun ketum itu dianggarkan bernilai RM4,000.

"Semasa melakukan rondaan, anggota MPV telah ternampak kereta Perodua Myvi dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan kereta tersebut.

"Selepas ditahan kereta itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan dan hasil pemeriksaan menemui bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum yang berat keseluruhan berjumlah 460kg," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Nasaruddin berkata, hasil siasatan awal suspek mengaku kesemua daun-daun ketum itu miliknya.

"Semakan rekod turut mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkait dadah.

"Suspek turut mengaku daun tersebut diperoleh daripada seorang lelaki di Sik, Kedah," katanya.

Katanya, IPD Pasir Mas telah bertindak menyalurkan maklumat berkait dengan lelaki berkenaan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sik untuk mengesan suspek.

"Kes disiasat bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian